Kursus 'Smart Start' yang selama ini
dihadiri secara sukarela akan diwajibkan bagi semua pasangan dari semua
kaum yang ingin berkahwin, sebelum akhir tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani
Abdul Karim berkata kementerian kini dalam proses perbincangan dengan
pihak-pihak berkaitan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
dan institusi keagamaan lain, bagi mewajibkan kursus ini.
Kursus itu bertujuan mencegah berlakunya perceraian, katanya kepada
pemberita selepas merasmikan sambutan 'Hari Antarabangsa Menangani
Keganasan Terhadap Wanita 2014' di ibunegara semalam.
"Modul ini telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan
Keluarga Negara (LPPKN) sejak Mei 2003 untuk semua kaum bagi memberi
pengetahuan dan kemahiran kepada pasangan yang baru berkahwin atau yang
akan berkahwin," katanya.
"Kementerian yakin dengan adanya kursus ini masalah rumah tangga dapat dikurangkan," tambahnya.
Rohani berkata kursus itu memberi fokus kepada pelbagai aspek
perkahwinan dan keibubapaan, selain memberi sokongan psikososial kepada
pasangan bagi menempuh alam perkahwinan dan rumah tangga agar lebih
sejahtera.
Beliau juga berkata rekod polis menunjukkan 3,673 kes keganasan rumah
tangga dilaporkan sepanjang tahun ini, meningkat 43.6 peratus berbanding
2,558 kes pada tahun lepas.
"Ini menunjukkan meningkatnya tahap kesedaran wanita untuk tampil melaporkan keganasan rumah tangga yang dialami," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan