HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Disember 2014

Adun Kelaboran turut berpindah

SALMAH MAT HUSAIN 


TUMPAT: Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim bersama empat lagi anggota keluarga antara mangsa baru banjir di Kelantan awal hari ini setelah ia turut melanda bahagian Kelantan Utara bermula petang semalam.

Zaki bersama isteri serta anak bongsunya berusia lima tahun beredar dari kediaman mereka di Taman SPP Kota Warisan awal pagi tadi untuk berpindah di kawasan selamat setelah air naik sejak malam tadi.

Ketika dihubungi beliau memberitahu, anak-anak dan isterinya terpaksa menumpang di rumah saudaranya di Kelaboran.

Bagaimanapun Zaki yang juga Adun Kelaboran meneruskan tanggungjawabnya sebagai seorang wakil rakyat dengan membantu mangsa-mangsa banjir seperti menyediakan kelengkapan makanan khususnya.

Ketika dihubung beliau memberitahu, sehingga kini jumlah terakhir mangsa banjir yang berpindah dalam Jajahan Tumpat seramai 5,803 orang.

Menurutnya, antara kampung-kampung terlibat Kampung Bendang Pak Yong, Atas Kok, Kampung Tok Jiring, Kampung Kajang Sebidang, Kampung Cherang Melintang.

“Setakat ini semua mangsa ditempatkan di 12 buah tempat perpindahan antaranya di Sek Keb Bunohan, Sek Keb Keting, Sek Keb Kok Keli dan lain-lain,” ujarnya.

Zaki tidak menafikan banjir tahun ini begitu luar biasa walaupun Jajahan Tumpat sering dilanda banjir.

Katanya, mudahan ianya menjadi pengajaran walaupun di tempat yang tidak pernah ditenggelami air sebelum ini hendaknya berwaspada agar tempat-tempat yang telah dinaiki air berpindah awal sebelum dinaiki air banjir yang besar.

“Bagaimanapun kita harus ingat, ini semua ujian dan takdir Allah, jadi sama-sama kita bersabar,” ujarnya.

Maklumat terkini mangsa banjir di seluruh Kelantan berjumlah 34,416 orang dengan jajahan paling tinggi Gua Musang diikuti Kuala Krai, Pasir Mas dan Machang. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: