OKU
KUALA LUMPUR - Persatuan Orang-orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam)
menggesa kerajaan meminda Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dengan
memperuntukkan hukuman terhadap pihak yang mendiskriminasi golongan itu.
Presidennya, Shahidon Hanafiah berkata, pihak yang mendiskriminasi OKU
harus dihukum kerana golongan itu kini begitu sukar mendapat peluang
pekerjaan dan pendidikan.
Beliau mendakwa ramai majikan terutamanya di sektor swasta tidak mahu
menerima golongan OKU untuk bekerja ataupun memecat mereka tanpa alasan
kukuh.
"Lebih menyedihkan apabila terdapat syarikat-syarikat yang sanggup
memilih untuk memecat golongan OKU terlebih dahulu apabila berlakunya
penstrukturan semula pekerja-pekerja mereka dengan alasan tidak
produktif," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Shahidon berkata demikian bagi mengulas cadangan Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia (Suhakam) kepada kerajaan untuk mengkaji semula mekanisme
perundangan bagi mereka yang tidak mematuhi Akta OKU 2008.
Kelmarin, pemangku Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dilaporkan
berkata, Akta OKU perlu dipinda kerana terdapat pihak yang menafikan hak
dan peluang OKU dalam sistem pendidikan dan pekerjaan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kaji semula perundangan jika langgar Akta OKU]
Sementara itu, Presiden Persatuan Pembangunan Orang Buta Malaysia,
Jaafar Md Isa berkata, akta itu perlu ditambah baik dengan hukuman
setimpal supaya kesalahan yang sama tidak diulangi.
"Ini juga bagi melindungi hak OKU seperti kami daripada diskriminasi
masyarakat dan pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman yang
sepatutnya," katanya.
Beliau berkata golongan OKU yang menjadi mangsa diskriminasi sering
dilihat tidak mendapat perlindungan sewajarnya meskipun aduan telah
dilakukan.
"Mereka telah mengadu kepada pihak yang bertanggungjawab, namun akta
itu tidak ada menyatakan apa tindakan seterusnya yang harus dikenakan ke
atas pesalah. Hak OKU seolah-olah diremeh-temehkan apabila hanya
membuat aduan dan tiada tindakan selanjutnya dibuat," katanya.
Mengulas perkara sama, Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak
Malaysia, Mohamad Sazali Shaari pula mahu agensi kerajaan dan swasta
lebih peka dan memahami keperluan pendidikan OKU.
"Akta OKU 2008 digubal bagi menyedarkan masyarakat kita akan kewujudan
OKU serta memahami keperluan mereka, namun ada pihak-pihak yang masih
belum mengikuti sepenuhnya.
"Sebagai contoh, negara kita masih menggunakan Bahasa Isyarat Kod
Tangan Bahasa Melayu walhal kita perlu menggunakan bahasa isyarat
nasional dalam pendidikan seperti yang telah termaktub dalam Konvensyen
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang Upaya,"
katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan