MALAYSIAKINI
Kerajaan Persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri
Kelantan untuk membentangkan ke Parlimen rang undang-undang persendirian
mengenai hukum hudud bagi dilaksanakan di negeri itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata
ia adalah hak kerajaan negeri Kelantan, bukannya bidang kuasa
Jawatankuasa Teknikal Pusat mengenai hukum berkenaan.
"Kita (Kerajaan Pusat) tidak ada masalah mengenainya (rang undang-undang
tersebut), dan ianya adalah hak kerajaan negeri," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tilawah
Al-Quran GLCs Peringkat Kebangsaan kali Pertama 1436/2014M di Balai
Islam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman
Mustapha dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah,
Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Jamil Khir mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd
Amar Nik Abdullah baru-baru ini berkaitan hukum hudud di negeri itu.
Mohd Amar berkata Jawatankuasa Teknikal Pusat mengenai hudud akan
bermesyuarat Disember ini untuk merumus dan mencadangkan kepada kerajaan
negeri serta pusat bagi memastikan ia dapat direalisasikan tahun depan.
Beliau berkata mesyuarat kali ketiga itu juga akan turut memutuskan
keperluan untuk meminda Akta 355 atau Perkara 76 (A) yang memerlukan
satu rang undang-undang persendirian untuk dibawa ke Parlimen.
Sementara itu Jamil Khir memuji langkah syarikat-syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) yang mengadakan tilawah berkenaan, dan berharap ia turut
dilakukan di peringkat antarabangsa.
Tilawah itu dianjurkan oleh Telekom Malaysia (TM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Wakil dari Petronas Mohd Hazrizal Abd Aziz telah diumumkan sebagai johan
bahagian qari, manakala Nor Syahidah Ismail dari Tabung Haji johan
qariah.
Seramai 16 peserta yang mewakil sembilan GLC menyertai tilawah berkenaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan