HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Disember 2014

Graduan teknikal jadi 'ahli teknologi'

MALAYSIAKINI


Nasib graduan universiti teknikal yang kini dianggap kelas kedua akan terbela dengan adanya satu akta baharu yang mengiktiraf peranan mereka sebagai ahli teknologi.

Timbalan Menteri Sains dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata Rang Undang-undang Teknologi dan Juruteknik 2014 itu telah dibentang di Parlimen Khamis lepas dan bacaan kedua dijangka dibuat Mac ini.

"Dengan adanya akta baharu ini kita harap boleh gerakkan profesion ahli teknologi dan sediakan laluan kerjaya yang lebih terarah kepada graduan teknikal," katanya kepada pemberita di Balik Pulau malam tadi.

Beliau berkata ketika ini graduan teknikal tidak diiktiraf dari segi kepakaran oleh Lembaga Jurutera Malaysia namun keadaan itu boleh diubah kerana jurutera dan ahli teknikal sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.

"Ahli teknikal pakar dalam pemasangan dan membina produk, jurutera pula uji dan menilai kekuatan produk tersebut," katanya.

Abu Bakar berkata langkah memperkenalkan akta itu bertujuan melahirkan lebih ramai pakar teknikal dalam negara dan gelaran 'Ts' (technologies) akan diberi kepada mereka yang diiktraf sebagaimana penggunaan Ir untuk jurutera.

Dalam pada itu beliau berkata kementeriannya telah menyenarai 65 produk yang borpotensi untuk dikomersilkan untuk program 'beli balik' inovasi tempatan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Katanya program itu akan bermula awal tahun depan bagi memberi publisiti kepada produk terpilih sekali gus melonjak kadar pengkomersialan inovasi negara yang setakat ini hanya mencapai lapan hingga 10 peratus.

"Setiap produk itu akan dibeli dalam kuantiti kecil dan akan diberi kepada sektor seperti kesihatan, pertanian dan pendidikan sesuai dengan keperluan dan kegunaan masing-masing," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: