Oleh: Fiza Abd halim
KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bersedia
untuk berdebat dengan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) mengenai
penghapusan subsidi minyak bagi rakyat negara ini.
Katanya, beliau sedia bersemuka dengan mana-mana pemimpin Umno
termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan atau Ketua Pemuda
Umno, Khairy Jamaluddin.
“Saya bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja, baik Ahmad
Maslan, KJ (Khairy Jamaluddin) atau mana-mana menteri dalam menyentuh
isu rakyat, isu harga minyak dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi
Keadilan Daily.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sekiranya nama yang
disebutnya itu sedia berdepan dengannya dan memberi maklum balas
positif, beliau akan menghantar surat jemputan untuk berdebat
terutamanya dalam isu hangat tersebut.
“Saya tak mahu cabar-cabar, nak datang berdebat dengan saya, kita tak
mahu mencabar seperti pemuda Umno gunakan, itu sikap tak profesional.
Mereka (Ahmad Maslan dan KJ) tak akan sambut pelawaan kita melalui
medium media, kita akan hantar jemputan kepada mereka.
“Kita akan bahaskan isu subsidi minyak seperti KJ pernah ulas sebelum
ini dan akan pertahankan setiap isu yang ada kepentingan kepada
rakyat,” jelasnya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan di Facebook 23
November lalu berkata, harga petrol dikira mengikut formula Automatic
Pricing Mechanism atau APM.
Manakala harga rujukan bagi kiraan APM adalah mengikut Mean Of Platts
Singapore (MOPS) iaitu harga minyak yang sudah di proses dan beberapa
kos lain.
Bagaimanapun, Rafizi semalam berkata formula yang digunapakai
kerajaan dalam penentuan harga minyak adalah tidak telus dan tidak
selari dengan harga pasaran dunia.
Menurutnya, penurunan harga minyak di Malaysia sekitar 2 peratus jauh
berbeza dengan penurunan harga minyak mentah Brent, yang turun daripada
USD105 setong kepada USD68 setong, atau penurunan sebanyak 28 peratus
hingga 35 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan