Shahidan Kassim Shahidan Kassim
 
 
KUALA LUMPUR - Seramai 3,522 penjawat awam disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan salah laku rasuah sejak 2009 hingga Oktober lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dalam tempoh sama, SPRM turut menyiasat 1,515 orang awam, 1,222 kakitangan swasta dan 100 ahli politik.

"Perangkaan ini sudah cukup menunjukkan kita serius dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit rasuah.

"Namun begitu, kita masih mengharapkan masyarakat agar terus menyalurkan maklumat dari masa ke semasa," katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong pada persidangan itu.

Menjawab soalan tambahan Senator To' Puan Zaitun Mat Amin, Shahidan berkata, kerajaan memandang serius isu rasuah dan setiap kesalahan sama ada disebabkan kelalaian tingkah laku dan sebagainya harus disiasat dan dikenakan tindakan.

"Secara umum rakyat sedang memerhatikan kita dan setiap kesalahan yang dilaporkan oleh masyarakat harus disiasat dan diambil tindakan berdasarkan kepada kesalahan masing-masing," katanya. - Bernama