Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR - Tindakan Perdana Menteri berada di luar negara ketika rakyat negara ini menghadapi bencana banjir adalah sangat memalukan, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.
Tegas, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya memendekkan percutian dan pulang segera bagi memantau krisis yang melanda negara, dan bukannya bercuti sambil bermain golf.
“Ini memalukan, tindakan Najib ini seolah-olah menghina rakyat yang kini bersabung nyawa menghadapi banjir besar.
“Beliau sepatutnya memendekkan percutian dan pulang segera seperti yang dilakukan pemimpin negara lain apabila berhadapan dengan bencana,” tegasnya lagi.
Washington Post hari ini melaporkan Najib bercuti di Hawaii dan menjadi tetamu istimewa untuk bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Najib antara empat orang termasuk Joe Paulsen dan Mike Brush, bermain golf bersama Obama di pengkalan tentera marin di kepulauan Hawaii.
Portal lain juga melaporkan jet rasmi perdana menteri dengan nombor pendaftaran 9M-NAA, tiba di Honolulu dari Kuala Lumpur pada 20 Disember.
Azan mendakwa, beliau yakin selain Najib, kebanyakan pemimpin tertinggi tidak berada dalam negara ketika bencana banjir besar berlaku.
“Kebanyakan pemimpin negara sedang bercuti menjelang tahun baru ini, mereka patut rasa malu dan letak jawatan,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Sebuah lagi portal berita NDTV.com turut menyiarkan laporan percutian dan permainan golf antara Najib bersama Presiden Obama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan