Amalan rasuah merupakan gejala bahaya yang akan memusnahkan bangsa Melayu kecuali kesilapan yang terjadi diperbetulkan.
PETALING JAYA: Kelemahan orang Melayu yang tidak kuat keimanan menyebabkan mereka terbabit dengan amalan rasuah sehingga menjatuhkan maruah bangsa dan menjadi masalah negara.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, kesilapan pada orang Melayu adalah kelemahan dalam mempertahankan godaan memberi dan menerima rasuah.
Sehubungan itu tegas beliau, orang Melayu seharusnya menerima secara terbuka kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar menjauhi amalan rasuah dan seterusnya membaiki penguasaan ekonomi.
Menurutnya, amalan rasuah merupakan gejala bahaya yang akan memusnahkan bangsa Melayu kecuali kesilapan yang terjadi diperbetulkan.
”Melayu diatas nama Islam yang seharusnya dijaga martabatnya dan tidak harus berpecah,” katanya dalam kenyataan media di sini sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa kuasa politik Melayu kian terhakis sehingga terpaksa mengemis kepada Cina DAP untuk memenangi pilihan raya.
Kenyataan bekas Perdana Menteri itu mencetuskan pelbagai reaksi pro dan kontra termasuk meletakkan kesalahan ke atas Dr Mahathir yang didakwa menjadi punca kepada kelemahan orang Melayu.
”Dalam kenyataannya juga Tun Dr. Mahathir menegaskan orang Melayu harus mengekalkan penguasaan politik dan bersatu untuk menjadikan pegangan ekonomi lebih kukuh dan terutamanya tidak melakukan rasuah yang boleh menjadi pokok utama kemusnahan orang Melayu sendiri,” jelas Moehamad Izat.
Beliau menambah: ”Kenyataan tersebut seharusnya diterima dengan keinsafan dan kesedaran mengenai keadaan sebenar tanpa timbul rasa benci.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan