Oleh A Kadir Jasin
PRESIDEN Umno, Mohd Najib Abdul Razak, semalam secara terbuka mendedahkan yang Umno mengupah blogger.Inilah kali pertama seorang pemimpin atasan Umno dan kerajaan membuat pengakuan seperti itu.
Mohd Najib berkata, mereka ini makan gaji dengan Umno tetapi menyerang
balik parti itu.Kerana itu, beliau menyifatkan mereka sebagai bangang.
Merujuk kepada Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Najib berkata: “Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly."
Tambah Mohd Najib lagi: “Bloggers kita ni cari makan dengan siapa?
Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan.
Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,” katanya dalam
ucap penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) semalam. (Baca lanjut di sini)
Pendedahan dan herdikan Mohd Najib itu akan melemahkan lagi perang
saraf Umno di alam siber. Tanpa pendedahan dan kecaman itu pun
keberkesanan blogger Umno sudah dipersoalkan.
Seperkara lagi, kalau benar blogger-blogger upahan Umno itu berperang
sesama sendiri dan menyerang pemimpin parti, ia adalah cerminan
perpecahan dan ketidaktentuan dalam Umno sendiri.
Namun Mohd Najib bukan orang pertama mencemuh dan melabelkan blogger.
Zainuddin Maidin (kini seorang blogger) ketika menjadi Menteri
Penerangan melabelkan blogger “goblok”, Khairy Jamaluddin menanggil
mereka “beruk” dan Shaziman Abu Mansor, waktu menjadi Timbalan Menteri
Tenaga, Komunikasi dan Air, menyifatkan sesetengah blogger dan pengulas
blog sebagai penembak curi.
Maaf cakaplah kalau saya katakan istilah “bangang” yang Mohd Najib
gunakan itu adalah keterlaluan, kesat, kasar dan tidak membayangkan
hemah dan ketokohan seorang pemimpin.
Pusat Rujukan Bahasa Melayu DBP mentakrifkan bangang sebagai bodoh, dungu, tongong dan bahlul. Teruk sungguh.
Kesian juga saya kalau selepas ini ada blogger Umno yang tertiarap periuk nasinya akibat herdikan Mohd Najib itu. Http://kadirjasin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan