MALAYSIAKINI
Pendakwah dari negara luar perlu melalui proses tapisan keselamatan
pihak polis, sebelum dibenar memberi syarahan di negara ini bagi
memastikan fahaman ekstrem termasuk berunsur militan tidak disebarkan di
Malaysia.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit
Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sehubungan itu satu
mekanisme perlu diwujudkan bagi menapis pendakwah dari negara luar.
Katanya berdasarkan pengalaman lalu, ideologi berunsur militan dan
ekstremisme dibawa oleh orang asing ke negara ini, antaranya Jemaah
Islamiah dan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT).
"Kalau boleh setiap pendakwah atau penceramah asing yang datang untuk
bagi syarahan agama perlu melalui tapisan keselamatan polis terlebih
dahulu... iaitu Jabatan Agama rujuk kepada kita dahulu dan kita buat
tapisan sebelum mereka (Jabatan Agama) membuat pentauliahan kepada
penceramah berkenaan.
"Aspek yang penting ialah untuk kawal atau kekang kemasukan individu
yang kononnya pendakwah, walhal membawa fahaman ekstremisme dan
bertentangan dengan landasan Islam sebenar," katanya kepada Bernama.
Ayob Khan berkata terdapat beberapa keadaan, jabatan agama tidak merujuk
kepada pihak polis dalam isu kemasukan (pendakwah), sebelum ditauliah
untuk memberi syarahan dalam negara sedangkan ia merupakan langkah
pencegahan awal dalam mengekang ideologi militan, ektremisme dan
sebagainya.
"Sebagai contoh, sebelum ini terdapat beberapa individu yang tidak
dibenarkan memberi syarahan di negara-negara Arab dan juga beberapa
negara Barat seperti Amerika Syarikat dan sebagainya namun mereka
dibenarkan masuk dan memberi syarahan yang kononnya syarahan agama di
negara ini.
Beliau juga menegaskan, terdapat beberapa kes, pendakwah asing ini cuba
untuk menggunakan sokongan golongan ternama untuk mendapatkan status
penduduk tetap (PR) bagi membolehkan mereka menyebarkan fahaman mereka.
Berhubung pembentangan Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan
Islamic State (IS)' oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
baru-baru ini, beliau berkata pihaknya menyokong sepenuhnya sama ada
kerajaan ingin menggubal undang-undang baharu mahupun memperkukuh Akta
Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Dalam keadaan ancaman militan ketika ini, kita perlu memperkemas lagi
Sosma bagi memudahkan pengemukaan bukti di mahkamah," kata Ayob Khan.
Semasa membentangkan Kertas Putih itu, Najib bagi pihak kerajaan merayu
sokongan rakyat terhadap usaha membendung ideologi kumpulan militan IS
dan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan
rakyat Malaysia dalam aktiviti sedemikian.
Najib berkata kerajaan bercadang membentangkan undang-undang baru itu pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata pihaknya tidak menolak
kemungkinan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam membantu kumpulan
militan di negara berkonflik termasuk di Syria.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan