CIMB Bank
CADANGAN penggabungan bank mega melibatkan CIMB Group
Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd akan
diteruskan dengan atau tanpa penyertaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP).Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak berkata, beliau amat yakin pihak yang terlibat boleh mendapatkan sokongan pemegang saham apabila rancangan perniagaan dibentangkan pada mesyuarat pemegang saham.
"Kami rasa kami akan meneruskannya dengan atau tanpa KWSP," katanya kepada pemberita di luar acara lawatan delegasi Kelab Perniagaan Asean ke Malaysia, dan pelancaran 'Laporan Menghapus Halangan' di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penggabungan berkenaan setelah Bursa Malaysia membuat keputusan untuk menyekat KWSP daripada mengundi mengenai cadangan penggabungan itu.
Bagaimanapun, KWSP mengemukakan rayuan kepada bursa saham untuk hak mengundi penggabungan bank mega itu dan sedang menunggu butiran cadangan penggabungan sebelum membuat pendiriannya.
KWSP merupakan pemegang saham terbesar RHB Capital dengan pegangan 41.5 peratus. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan