PORT DICKSON - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan masalah perumahan yang dihadapi oleh anggota tentera akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, aspek perumahan masih lagi merupakan agenda yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Seperti di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson sekurang-kurangnya 800 anggota masih berhadapan dengan masalah berkenaan.

"Begitu juga dengan anggota di Kem Syed Sirajuddin, Gemas sehingga ada yang menyewa di Segamat, Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusasda sebenar tadi.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin.

Najib berkata, ‎kebajikan tentera akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.‎

Dalam pada itu, Najib menzahirkan keyakinan tentera akan taat setia kepada kerajaan yang di pilih oleh rakyat.‎

Dalam majlis sama, Najib turut memberi sumbangan RM500,000 kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) Malaysia.

 ‎Seramai 3,000pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM hadir menjayakan program yang julung kali dianjurkan.

‎Selesai berbuka puasa, Mohd Najib menunaikan solat Maghrib dan Isya' serta tarawih dengan diimamkan oleh Ketua Pengarah Kor Agama, Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat di Masjid Pusasda.