KUALA LUMPUR -  Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan pihaknya termasuk Jawatankuasa Pemilihan Pas tidak menerima sebarang aduan salah laku calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Pas yang akan berlangsung minggu ini.

Menurutnya, Pas menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi setiap calon yang layak bertanding antaranya tidak boleh menjatuhkan calon lain dalam berkempen.

“Saya sudah semak dengan Tuan Haji Asmuni (Asmuni Awi) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, mereka sudah siap sedia dan saya tanya sekiranya ada menerima sebarang aduan berkait salah laku calon-calon? Dia kata tak ada aduan.

“Maknanya pemimpin-pemimpin Pas bagus-bagus tak ada yang langgar peraturan. Saya sendiri di pejabat Setiausaha Agung Pas tidak ada menerima apa-apa berkait dengan calon,” katanya.

Menurutnya, mungkin laporan media ada menyebut seolah-olah kenyataan calon tertentu melanggar garis panduan namun pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada ahli Pas setakat ini.

“Garis panduan ada... menyebut kalau calon nak kempen, jangan menjatuhkan orang...menghina. Kalau nak beritahu visi anda, bolehlah tapi nak menjatuhkan orang tak boleh.

“Tapi setakat ini saya semak dengan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, tiada ada orang yang mengadu tentang perkara-perkara salah laku ini. Mungkin dalam media ada yang dianggap (langgar garis panduan) tapi tidak ada aduan dibuat. Jadi...tidak ada lah. Saya juga tidak terima apa-apa,” katanya.

Pemilihan Pas bagi tiga sayapnya iaitu Ulama, Pemuda dan Muslimat akan berlangsung Rabu ini sementara pemilihan Pas Pusat akan dijalankan pada Khamis di Kuala Selangor.