KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menafikan laporan oleh
The Singapore Business Times yang melaporkan mengenai perjanjian
pembidaan dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) Abu Dhabi
sebagai 'tidak berjaya'.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas itu, 1MDB
berkata perbincangan dengan IPIC masih berjalan bagi memuktamadkan
transaksi mengikut terma seperti yang diumumkan secara rasmi oleh IPIC
kepada Bursa Saham London pada 10 Jun 2015.
Artikel The Business Times itu adalah berasaskan perbualan dengan
sumber yang tidak dikenali, yang ternyata tidak profesional dan tidak
perlu, kata 1MDB dalam satu kenyataan di sini.
1MDB berkata, syarikat itu kini memberi tumpuan ke atas usaha
melaksanakan pelan rasionalisasi dengan jayanya, yang sudah terbukti
berdasarkan pelbagai pengumuman rasmi yang dibuat setakat ini.
Ia memberikan contoh lembaran terma pembidaan yang dilaksanakan dengan
IPIC, senarai pendek pembida terpilih untuk menjana kewangan Edra Global
Energy Bhd dan proses jualan semasa untuk Bandar Malaysia.
"Kami mengesahkan komitmen kami untuk menjayakan rasionalisasi ini dan
akan terus memberi makluman terkini kemajuan rasmi secara berkala,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan