SHAH ALAM: Penuntut
jurusan Undang-Undang Universiti Malaya, Naseha Uyaina Arshad muncul
sebagai juara program 'Pencarian Nona Manis' yang berlangsung di Sri
Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, Ahad.
Pada pertandingan peringkat akhir itu, Uyaina, 24, mengangkat isu bertajuk Perkosaan Dalam Rumah Tangga sebagai tugasan terakhir sekaligus berjaya memikat lima barisan juri profesional yang mengadili para peserta.
Kemenangan itu membolehkan Uyaina
membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, barangan kemas tajaan
Habib Jewel bernilai RM15,000, tajaan pakaian dan tudung daripada
Blossom Box Store dan Adijuma berserta trofi.
Uyaina berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.
Nur Shaqira Edora Ghaffar, 24, pula diumumkan sebagai naib juara manakala Siti Maryam Hussin, 23, berada ditempat ketiga.
Masing-masing berjaya membawa pulang
hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 berserta hadiah
sampingan berupa barangan kemas tajaan Habib Jewel bernilai RM10,000 dan
RM5,000, tajaan pakaian dan tudung daripada Blossom Box Store dan
Adijuma berserta trofi.
Dua peserta lain iaitu Balqish Banu
Mohd Hussni, 21 dan Nurul Arifah Abdul Rashid menerima sagu hati berupa
wang tunai RM2,500 dan barangan kemas bernilai RM2,000 sumbangan Habib
Jewel.
Kesemua peserta pada pertandingan itu
diadili oleh juri profesional iaitu Pengurus Pengurusan Imej Media Prima
Berhad, Nurfarahin Jamsari, Koresponden TV3 di London, Haliza Hashim,
Fahrin Ahmad, Jovian Mandagie dan Mahami Awang.
Tempat kedua menjadi milik Edora.
Ia dihoskan oleh Fouziah Gous,
Fara Fauzana dan Dayah Bakar manakala penyanyi Altimet, Hafiz dan Azmil
(Mentor Legend) tampil mengadakan persembahan.
Dalam pada itu, Uyaina berkata, dia
mengetengahkan isu berkenaan kerana tidak ramai yang berani bersuara
mengenai perkara itu biarpun ia sebenarnya semakin menular dalam
masyarakat.
"Mungkin ia jarang didengar tetapi isu
berkenaan adalah serius dan ini adalah peluang terbaik saya untuk
mengupas kemelut berkenaan menerusi platform Pencarian Nona Manis.
"Sebagai seorang yang belajar bidang
perundangan isu-isu seperti itu sentiasa menjadi perhatian saya dan
gunakan kelebihan itu untuk membuat laporan mengenai Perkosaan Dalam
Rumah Tangga," ujarnya.
Maryam terpaksa berpuas hati ditempat ketiga.
Sementara itu, Uyaina berkata, dia
ingin meneruskan kerjaya dalam bidang penyiaran sekiranya diberi
peluang kerana melihat platform itu memberikan dia ruang untuk mengupas
pelbagai isu berkaitan wanita.
Pun begitu katanya, bidang perundangan
sentiasa berada dekat dihatinya dan akan meneruskan karier sebagai
peguam pada masa hadapan.
"Dua-dua saya suka tetapi buat masa
sekarang saya ingin mencuba sebagai pengacara jika diberi peluang oleh
pihak Media Prima," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Nurfarahin
memberitahu, sebagai ketua juri, dia melihat kelima-lima peserta akhir
Pencarian Nona Manis mempunyai potensi besar dalam bidang penyiaran
sekiranya diberi lebih banyak praktikal.
"Mereka pada awalnya bermula tanpa
sebarang pengetahuan dalam bidang penyiaran dan secara peribadi saya
berbangga dengan pencapaian mereka sekarang.
"Insya-Allah dengan pendedahan dan latihan mereka boleh pergi jauh dalam bidang ini," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan