shahbudindotcom
Kita
selalu melihat lambang "u turn" di jalan-jalan dan perbuatan "u turn"
juga kerap berlaku dalam kehidupan seharian manusia. Di jalanraya
banyak jalan susur untuk pergi ke mana-mana destinasi lain daripada
jalan utama dan dalam kehidupan seharian juga kerapkali sesuatu perkara
disusurkan daripada matlamat asal yang mahu dituju.
Begitulah
lumrah dan rencah dalam kehidupan manusia. Hanya mereka yang teguh
pendirian, sentiasa berbuat yang benar dan tidak takut dengan kebenaran
saja yang tidak memilih laluan "u turn" atau jalan susur jika sudah
membuat keputusan untuk melalui jalan lurus sehingga sampai ke matlamat
yang mahu dituju sejak awal lagi.
Melalui
penubuhan pasukan petugas khas oleh Peguam Negara sebelum ini, ia
adalah untuk menyiasat dakwaan kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke
dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
Selepas
melakukan lima tangkapan dengan terakhir seorang despatch dan kemudian
Gani Patail disingkirkan sebagai Peguam Negara atas alasan kesihatan,
kita tidak pernah mendengar apa-apa khabar berita lagi tentang pasukan
itu.
Cuma
yang kita tahu kemudiannya tiga orang telah ditahan untuk membantu
siasatan. Mereka ialah bekas pengerusi sebuah panel penasihat SPRM, Tan
Sri Rashpal Singh, kakitangan di Jabatan Peguam Negara, Jessica Sidhu
dan seorang yang berjawatan timbalan pendakwaraya di SPRM, Ahmad Sazilee
Abdul Khairy.
Buat
seketika, ramai yang bingung dengan penangkapan mereka ini. Apa tujuan
orang yang ada kaitan dengan pasukan penyiasat tiba-tiba ditahan polis?
Akhirnya
semalam, Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik, Ahmad Zahid
Hamidi mengesahkan penangkapan ketiga-tiga mereka ini ialah untuk
membantu siasatan berkaitan kebocoran maklumat 1MDB.
Katanya,
kerajaan memandang serius isu kebocoran itu kerana maklumat berkaitan
siasatan 1MDB telah digunakan untuk menjejaskan imej Perdana Menteri.
"Kita
ambil serius isu kebocoran ini dan polis akan menyiasatnya dengan
profesional. Kami mahu menentukan bagaimana maklumat itu dibocorkan sama
ada melalui SPRM, Peguam Negara, Bank Negara atau pihak polis sendiri,"
katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.
Pulakkk!!!
Dengan
tumpuan siasatan kini disusurkan ke arah mencari pembocor maklumat
berbanding isu wang RM2.6 bilion yang menjadi matlamat asalnya, ia
secara langsung memberi gambaran bahawa laporan The Wall Street Journal,
Sarawak Report dan The Edge selama ini adalah benar dan sahih belaka.
Secara
sedar dan sengaja, Zahid Hamidi telah mengesahkannya untuk pencerahan
kita semua. Maknanya maklumat yang bocor itu adalah benar, cuma ia
dianggap boleh menjejaskan imej Najib.
Maknanya
juga, jika maklumat yang disiarkan dalam media itu tidak sahih, buat
apa pembocor maklumat ingin dicari? Lebih baik ambil tindakan
undang-undang terus kepada media terbabit saja atas dakwaan fitnah dan
sebagainya?
Adakah
ini yang menyebabkan saman terhadap WSJ terus tertangguh, manakala
Sarawak Report hanya disekat dan The Edge digantung permitnya?
Tentunya ini akan membuatkan ramai tertanya-tanya, apa jadi kepada siasatan pasukan petugas khas selepas ini?
Mungkin
juga sebahagian yang lain merasakan tidak lagi penting untuk
mengetahui hasil siasatan pasukan petugas khas itu setelah Gani Patail
disingkirkan dan mencari pembocor maklumat lebih disasarkan.
Bagi
yang ingin mengetahui kebenaran, pasti turut tertanya-tanya, apakah
setelah pembocor maklumat diketahui nanti, isu wang RM2.6 bilion yang
dikaitkan dengan Najib itu akan diteruskan siasatannya atau bakal
disenyapkan begitu saja?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan