KUALA LANGAT - Bapa kepada seorang penumpang, S Puspanathan, 35, berkata, walaupun dia dan isteri sudah dapat menerima kenyataan sebelum ini, namun pengumuman Perdana Menteri berhubung serpihan MH370 belum cukup meyakinkan mereka.
“Saya nak sangat tahu kalau ada serpihan tulang yang benar-benar membuktikan itu milik penumpang MH370," kata G Subramaniam, 61, ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Meskipun kesedihannya belum benar-benar surut, namun dia masih menunggu bukti-bukti lain yang boleh membantu keluarga untuk terus reda dengan tragedi itu.
“Saya masih tunggu berita baru setiap hari (mengenai MH370). Berita semalam membuatkan saya dan isteri sedih.
“Memang kami nak tau apa sebenarnya yang berlaku. Di mana serpihan-serpihan lain, di mana bahagian badan manusia (tulang) penumpang,” katanya yang terpaksa menerima hakikat keputusan itu tetapi masih mengharapkan keajaiban berlaku.
Isterinya, A Amirtham, 61, mengaku sangat merindui anak lelakinya dan sedih apabila mengenangkan dua cucu lelakinya, Hariswarman, 5, dan Taniswarman, 3, yang asyik bertanya di mana bapa mereka mereka.
Katanya, Hariswarman hampir setiap hari bertanyakan soalan kenapa bapanya tidak balik-balik dari pejabat.
“Saya selalu kata ayah pergi kerja belum balik lagi. Tapi budak sekarang ada perasaan ingin tahu, dia akan tanya setiap masa,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihannya.
Kata Amirtham, sebagai ibu, dia terus berharap anaknya kembali ke pangkuan keluarga kerana berita yang diumumkan semalam masih belum cukup baginya.
Dia sedar tiada harapan lagi untuk mereka sekeluarga sebaik sahaja mendengar pengumuman berkenaan, namun nalurinya yakin terdapat petunjuk-petunjuk baharu untuk mengesahkan kejadian sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan