SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Selepas lebih kurang dua
tahun menyulam cinta, Nora Danish mengakui hubungannya dengan Nedim
Nazri sudah pun menemui noktah cinta. - Foto TRP/Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR, Segala prasangka terlerai akhirnya. Semua khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa minggu lalu tentang hubungan cintanya kini semua sudah terjawab.
Barangkali satu jawapan yang klise
apabila mengungkap sudah takdir Allah bahawa perhubungan cinta yang
terjalin tidak semestinya akan berakhir ke jenjang pelamin.
Namun, itulah gambaran jelas tentang hubungan cinta pelakon wanita popular, Nora Danish, 33, bersama bekas teman lelakinya, Nedim Nazri yang sudah pun menemui noktahnya.
Sebelum ini memang sudah bertebaran
tentang hubungan cinta mereka yang dikatakan sudah goyang lantaran Nora
dan Nedim tidak lagi memuatkan gambar kemesraaan mereka di akaun
Instagram masing-masing seperti kebiasaanya.
Menerusi laporan portal mStar, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif
mengesahkan perkara berkenaan apabila dia memberitahu keputusan untuk
berpisah dengan Nedim adalah keputusan yang dibuat bersama.
Pun begitu, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri komedi, Puteri itu enggan mengulas lanjut tentang punca perpisahan mereka.
“Lagipun cinta tidak seharusnya dimiliki.
Itu sahaja yang boleh saya jelaskan kepada semua. Saya tidak mahu
cerita panjang-panjang lagi,” ulasnya ringkas kepada portal berkenaan.
Sekadar menyingkap sejarah, hubungan Nora
dan Nedim mula terjalin sekitar dua tahun lalu dan di awal percintaan,
mereka lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut dan membiarkan gambar di
Instagram masing-masing memberikan penjelasannya.
Semakin mereka selesa dengan hubungan
cinta itu, barulah Nora dan Nedim berani untuk mempamerkan dan berkongsi
ceritera cinta mereka itu sehingga mereka menjadi pasangan yang kerap
mendapat perhatian di laman sosial.
Sehinggakan hubungan mereka menjadi perdebatan di kalangan peminat, penyokong dan pembenci (haters) yang terus menghangatkan laman maya sepanjang mereka berpacaran.
Pastinya, hanya Nora dan Nedim atau lebih
dikenali dengan panggilan BossNed itu sahaja yang tahu punca mereka
mengakhiri hubungan cinta mereka itu walaupun ramai yang mula membuat
andaian sendiri berhubung perkara itu.
Apa pun yang terjadi, semoga Nora akan
tabah menghadapi ujian ini dan pastinya sekarang ini fokus utama Nora
adalah untuk terus membesarkan anak lelaki tunggalnya, Putera Rayqal
yang sudah pun berusia lima tahun dengan penuh kasih sayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan