KUALA LUMPUR, Usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan berlaku sekiranya mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.


Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata namun peluang untuk ianya terlaksana adalah tipis.

Katanya, syarat untuk membawa usul berkenaan ke Parlimen juga bergantung kepada sokongan.

“Memang ada kemungkinan ia akan berlaku namun kemungkinan itu tipis. Ia bergantung kepada sokongan Ahli Dewan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Jelasnya, mana-mana ahli Dewan boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sama ada dari parti pemerintah mahupun pembangkang.

“Mana-mana ahli Dewan berhak mengusulkan. Sokongan majoriti lebih 112 daripada 222 ahli dewan diperlukan untuk menjayakannya,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, syarat untuk melaksanakan usul berkenaan juga bergantung kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat.

Jelasnya, Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak cadangan berkenaan.

Malah katanya, notis cadangan perlu dihantar tiga minggu lebih awal untuk diteliti sebelum usul itu diputuskan untuk ditolak atau diterima oleh Speaker.

“Sokongan majoriti mudah atau dua pertiga anggota, membawa usul dengan memberi notis kepada Speaker Dewan Rakyat dan terpulang sama ada Speaker menerima atau menolak kerana Speaker juga mempunyai kuasa untuk menolak.

“Dalam hal ini sukar untuk melihat usul ini dibawa ke parlimen. Dalam sejarah Malaysia usul tidak percaya tidak pernah dibawa ke Parlimen kecuali usul tidak percaya ke atas Menteri Besar yang pernah berlaku di Terengganu dan Kelantan namun kedua-duanya gagal,” ujarnya.

Melihat kepada situasi politik terkini, Dr Ahmad Atory berkata kemungkinan untuk usul itu dibawa ke Parlimen juga tipis.

Ini kerana katanya, kesetiaan ahli Umno terhadap kepimpinan parti sukar dilunturkan.

“Usaha memang ada tetapi hanya ada di pihak pembangkang. Saya tidak fikir Umno dan saya yakin akan bersatu dalam keadaan krisis kerana budaya Umno sejak dari dulu lagi memang begitu.

“Kalau pun ada perpecahan dalaman Umno namun ia tidak akan memberi impak yang boleh meruntuhkan parti.

“Dalam konteks ini tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk membawa usul tidak percaya ke parlimen termasuk daripada pembangkang,” jelasnya.