MALAYSIAKINI
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan penjelasan isu 1MDB sukar dibuat berikutan siasatan masih berjalan.
Katanya, semua pihak perlu menunggu siasatan jabatan audit negara dan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selesai sebelum sebarang
penjelasan lanjut dibuat.
"Kita dah buat penjelasan setakat mana yang mampu tetapi apa yang kita tunggu sekarang ini adalah hasil siasatan tersebut.
"Setelah hasil siasatan itu dikemukakan kepada orang ramai, barulah kita
dapat gambaran lebih jelas dan kita boleh mengesahkan apa sahaja yang
telah disiasat itu betul," katanya kepada media di Majlis Pelancaran Ski
Malaysia di Wisma OCM, di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Khairy, sebelum proses siasatan itu dapat ditamatkan agak sukar dibuat sebarang komen.
"Justeru saya dan barisan exco kepimpinan pemuda Umno mengambil sikap bahawa siasatan itu harus diteruskan dan percepatkan.
"Sebarang penjelasan kepada peringkat akar umbi harus dibuat dengan
menyeluruh apabila kita mendapat kepastian daripada siasatan tersebut,"
katanya.
'Keluar Umno urusan peribadi mereka'
Diminta mengulas mengenai beberapa anggota jawatankuasa Pemuda Umno
Johor yang keluar parti, menteri belia dan sukan itu berkata, perkara
itu adalah keputusan peribadi mereka.
"Tak apalah itu keputusan peribadi mereka. Malah dulu pun bukan setakat
jawatankuasa pemuda tapi bekas presiden parti pun telah keluar parti,"
katanya.
Sementara itu, Khairy menjelaskan beliau akur dengan keputusan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membentuk kabinet baru selepas
melakukan beberapa pengguguran termasuk timbalan perdana menteri.
"Kerana ini adalah hak mutlak perdana menteri untuk tentukan barisan
jemaah menteri dan harapan kita agar barisan kabinet dapat jalankan
tugas dan amanah dengan baik untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita
(kerajaan) dapat menunaikan segala program dan janji yang telah dibuat.
"Jadi kita kena lihat positif dan lihat ke depan bahawa rombakan kabinet
mestilah membawa satu perkembangan positif kepada kerajaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan