PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi memohon maaf kepada kakitangan di bawah pimpinannya.


“Sepanjang tahun ini, jika sekiranya saya dan rakan-rakan telah melakukan apa-apa kesilapan, kekasaran dan kekhilafan, mohon ampun dan maaf,” katanya ketika menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Isnin lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mewakili para menteri memohon maaf atas sebarang kesilapan yang dilakukan kementerian tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepimpinan di bawahnya supaya saling mempercayai satu sama lain.

Beliau turut menggesa semua penjawat awam bekerja sebagai sebuah pasukan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya yakin dengan kerjasama semua rakyat dan pekerja perkhidmatan awam yang boleh kita bergantung untuk melonjakkan pencapaian.

“Jangan hilang fokus, objektifnya tidak lain tidak bukan demi kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita bekerjasama sebagai satu keluarga dan pasukan, percayai-mempercayai antara satu sama lain,” katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan berkenaan adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.