MALAYSIAKINI
Pasukan khas pelbagai agensi yang menyiasat syarikat pelaburan negara
1MDB seperti terhenti tiba-tiba selepas penyingkiran Tan Sri Abdul Gani
Patail sebagai peguam negara minggu lepas.
Sebelum ini, pasukan itu sentiasa mengemas kini perkembangan siasatan
mereka selepas muncul berita menggemparkan terdapat RM2.6 bilion wang
dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.
Ini
diikuti dengan penangkapan berprofil tinggi melibatkan syarikat yang
dikaitkan dengan aliran wang itu. Muncul juga spekulasi seperti ada
reaksi balas berlaku setelah itu.
Pasukan itu diisi nama-nama besar termasuk Gani, Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu bakar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
(SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti
Akhtar Aziz.
Bagaimanapun, selepas Gani digantikan dengan peguam negara yang baru pada 27 Julai, tiada lagi kemas kini daripada mereka.
Di pihak SPRM pula, Abu Kassim kini sedang bercuti manakala timbalannya
Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berada di luar negara untuk tugas rasmi.
Difahamkan Shukri akan pulang minggu depan tetapi sumber memberitahu beliau akan menyambung dengan cuti selepas itu.
Polis sasar Zeti?
Malaysiakini juga difahamkan bahawa siasatan SPRM pada SRC
International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan, menjadi
tugasan terakhirnya sebalum bersara.
Abu Kassim dan Mohd Shukri (gambar) juga tiada ketika pegawai
kanan suruhanjaya itu disiasat oleh polis bawah Seksyen 124B Kanun
Keseksaan atas dakwaan terlibat aktiviti yang boleh menjejaskan
demokrasi berparlimen.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dokumen penting berkaitan siasatan SPRM telah dirampas.
Walaupun SPRM berikrar meneruskan siasatan pada SRC, difahamkan perkembangan terbaru ini ternyata mengecewakan mereka.
Sementara itu, Zeti juga dipercayai sedang berada di luar negara. Bank
Negara bagaimanapun ketika dihubungi enggan mengesahkannya.
Dua anggota parlimen hari ini - Lim Lip Eng and Teo Kok Seong – hari ini
menyerahkan surat kepada Bank Negara, mendesak bank pusat itu
mengesahkan bahawa Najib pernah mengisytiharkan menerima RM2.6 bilion.
Mereka juga mahu tahu sama ada Zeti tidak berada dalam negara dan diberikan jawapan, Zeti masih bertugas.
Kemampuan Zeti dan Bank Negara menjalankan tanggungjawabnya dalam
pasukan khas 1MDB itu menjadi tanda tanya memandangkan beliau sendiri
mungkin disiasat polis susulan kebocoran maklumat sulit kewangan.
Pasukan tanpa pengasas?
Bank Negara menafikan penglibatan mereka.
Zeti bagaimanapun dinamakan dalam beberapa blog pro-BN sebagai sosok utama dalam dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan Najib.
Pihak-pihak lain yang turut dinamakan sudah dirakamkan kenyataan mereka
oleh polis. Dalam masa yang sama, Zeti juga kini dihamburkan dakwaan
rasuah.
Sementara itu, walaupun kewujudan pasukan khas itu hanya diketahui orang awam pada 3 Julai, selepas The Wall Street Journal melaporkan aliran wang ke akaun Najib, ia mungkin telah wujud empat tahun lebih awal.
Gani pada perhimpunan bulanan Jabatan Peguam Negara pada Oktober tahun
lalu berkata memulakan pasukan khas pada Mac 2011 bagi membantu kerajaan
membanteras pelarian cukai kastam, pengubahan wang haram, rasuah dan
salah guna subsidi minyak.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan itu bukan agensi baru, tetapi
kerjasama dengan pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi demi
membanteras penjenayah antarabangsa.
Walaupun pasukan khas 1MDB berkata Gani dirunding untuk pandangan
undang-undang, jelas bahawa memainkan peranan sebagai anggota penting
dalamnya sebelum ini.
Dengan semua perkembangan di atas, kemungkinan besar tiada maklumat
kemas kini akan diketahui daripada pasukan itu dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan