MALAYSIAKINI
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau
akan memantau prestasi enam menteri penuh yang berasal dari Perak dan
komitmen mereka untuk membangunkan negeri ini semasa mereka memegang
jawatan berkenaan.
Beliau berkata adalah tidak munasabah jika mereka yang dilantik
menganggotai pentadbiran di peringkat nasional gagal membawa pembangunan
ke negeri ini untuk menjadikan Perak antara negeri termaju di Malaysia.
"Jangan pernah ambil kesempatan untuk diri sendiri tetapi ambillah mana
yang sempat untuk membawa pembangunan ke Perak," katanya ketika berucap
di majlis bersama timbalan perdana menteri di kediaman rasmi menteri
besar Perak di Ipoh malam tadi.
Meskipun baru dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid
berkata beliau akan tetap memantau sejauh mana Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin, Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, Menteri
Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mampu
berbuat demikian.
"Saya tidak ada kuasa tapi saya perhatikan kalau ada maklum balas
daripada tuan-tuan dan puan-puan, kalau ada yang tidak membawa
pembangunan bagi tahu saya," kata beliau.
"Saya dah berjanji kepada diri saya dan Sultan Perak bahawa titah Tuanku
untuk melihat anak Perak di peringkat nasional mesti bantu negeri asal
dari segi pembangunan menjadi realiti," katanya.
Beliau juga berkata walau setinggi manapun kedudukan seseorang itu,
kepentingan mencari ilmu tidak harus dipinggirkan terutama dalam
kalangan pemimpin agar sentiasa berada di garisan hadapan dan tidak
mudah dipermainkan atau ditipu, terutama di dalam media sosial.
Ahmad Zahid juga berkata tabiat suka menyalahkan orang lain juga perlu
dihentikan dan setiap orang sepatutnya mengambil pendekatan membetulkan
diri sendiri terlebih dahulu.
"Apa yang patut ada pada kita bukan sahaja istiqamah tapi juga tawaduk,"
katanya sambil menambah apa sahaja yang berlaku pasti ada sebabnya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan