Oleh Edgar Ong
Penemuan serpihan sayap pesawat Boeing 777 (model sama dengan MH370) di Pulau Reunion pada 29 Julai lalu telah mencetuskan spekulasi bahawa ia barangkali serpihan badan pesawat MAS yang hilang itu.
Sudah
lebih 500 hari berlalu sejak pesawat itu didapati hilang bersama-sama
239 penumpang dan krew, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke
Beijing pada 8 Mac 2014.
Sehingga
sekarang, misi pencarian antarabangsa kekal buntu dalam usaha mereka
mengesan pesawat, walaupun dengan pencarian peringkat global melibatkan
pakar dan beberapa kerajaan.
Akhbar UK Daily Express melaporkan
bahawa “penyiasat keselamatan mempunyai keyakinan tinggi bahawa
komponen yang ditemui itu adalah bahagian sayap yang digunakan untuk
mencondongkan pesawat bagi membolehkannya membuat pusingan ketika di
udara.”
Para penyiasat dengan segera
memeriksa nombor siri yang dikaitkan dengan pesawat MH370 dan serpihan
itu untuk cuba membandingkannya, andainya kedua-dua berasal daripada
pesawat yang sama.
Seorang penyiasat
sukarela bebas Andre Milne yang terlibat dalam misi pencarian sejak
akhir tahun lalu mengulas: “Penemuan ini kemungkinan besar akan
dikaitkan dengan MH370. Ketika ia pertama kali menyentuh permukaan, air
boleh jadi telah membuatkan sayap mengalami ‘torsion load’ yang
menyebabkannya terputus daripada pesawat.
“Serpihan sayap itu kemudian dihanyutkan arus laut dan akhirnya ke arah barat daya, di mana ia ditemui.”
Dalam
kata lain, pesawat itu boleh terhempas di kawasan lain yang agak jauh
daripada lokasi serpihan ditemui, kalau pun ia benar-benar serpihan
MH370.
Spekulasi kian rancak.
Pencarian MH370 sudah mencatatkan rekod sebagai misi pencarian termahal
dalam sejarah penerbangan – sesetengah pakar berkata ia akan selamanya
diselubungi misteri, selagi tiada bukti konkrit yang dapat dikaitkan
dengan pesawat yang sebenar.
Seorang
lagi pakar penerbangan Perancis Xavier Tytelman dalam blognya
membandingkan reka bentuk sayap Boeing 777 dengan serpihan yang ditemui
di Pulau Reunion itu. “Persamaannya sukar dipercayai!” katanya.
Pada
saat ini, Boeing Aircraft sendiri mengambil pendekatan berjaga-jaga
apabila dalam satu kenyataan berkata, “Boeing kekal komited menyokong
penyiasatan MH370 dan pencarian pesawat.”
Menteri
Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, Malaysia telah menghantar pasukan
untuk mengesahkan serpihan, dan berharap ia akan dapat dikenalpasti
secepat mungkin.
Kecuali lebih banyak
serpihan yang hanyut ke pantai atau ditemui di kawasan sekitar Pulau
Reunion, pulau-pulau sekitar atau di Madagascar dalam beberapa hari
seterusnya, penemuan ini kemungkinan besar adalah “petanda palsu” yang
memberikan harapan kosong kepada keluarga dan insan tersayang penumpang
dan krew MH370.
Kita berdoa dan
berharap akan ada pengakhiran untuk mereka, dan penemuan terbaru ini
akan menjadi cetusan yang akan menghadirkan jawapan tentang apa
sebenarnya yang berlaku kepada MH37-http://bm.theantdaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan