SINAR HARIAN
Gambar hiasan.
JERANTUT - Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar
angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh ditukar di Tanah
Suci Mekah.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
berkata, maklumat itu tidak benar dan sehubungan itu jemaah haji tidak
perlu panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu.
"Maklumat yang terdapat dalam media sosial menyatakan duit kita tak
boleh ditukar tak boleh diguna pakai itu satu perkara yang palsu.
Saya telah berhubung dengan Pengarah Operasi Tabung Haji awal pagi tadi
(yang berada di tanah suci) dan beliau menyatakan tiada masalah
mengenai perkara itu.
"Duit kita walaupun duit kecil RM10, RM5 dia orang pun ada (untuk
ditukar)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan
kepada keluarga jemaah haji Allahyarham Zaleha Yasin di Kota Gelanggi 4
di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Shukor Husin dan
Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris yang kemudian bersama-sama
menyertai majlis tahlil Allahyarham Zaleha, 63 yang meninggal dunia di
Madinah.
Allahyarham Zaleha yang tiba di Madinah bersama suaminya Jaafar
Deran,73, pada 18 Ogos meninggal dunia akibat serangan sakit jantung
pada 24 Ogos lepas.
Arwah sebelum itu mengadu sakit dada, dibawa ke Klinik Kesihatan TH
untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke ke Hospital King Fahd,
Madinah pada 20 Ogos.
Dalam pada itu Abdul Azeez turut menyangkal dakwaan kononnya kejatuhan
nilai ringgit telah menyebabkan pengurup wang di Makkah, Jeddah dan
Madinah tidak mahu menerima duit Malaysia.
"Jangan sebar perkara tidak betul, saya faham kadangkala mereka nak
kongsi informasi yang diterima melalui telefon bimbit, tapi sekiranya
tidak sahih, jangan kongsi," katanya.
Jemaah haji, selain itu turut diingatkan supaya tidak membawa duit yang
banyak sebaliknya menyimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing
kerana ia lebih terjamin.
Beliau berkata, setiap jemaah haji boleh mengeluarkan simpanan sehingga
RM10,000 sehari menerusi kaunter yang disediakan oleh Tabung Haji di
maktab penginapan masing-masing.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pergerakan jemaah Malaysia ke
Tanah Suci berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, penerbangan akhir jemaah haji ke tanah suci dijadualkan pada 16 September ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan