HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Ogos 2015

Struktur semula SPRM, beri kuasa penuh

Struktur semula SPRM, beri kuasa penuh
Steven (empat dari kanan) bersama wakil-wakil yang turut serta dalam cadangan penstrukturan semula SPRM merakam gambar selepas sidang media di pejabat Majlis Peguam, di sini, hari ini. - Foto Sinar Online


KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia dengan kerjasama beberapa badan mencadangkan agar pembaharuan dibuat ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan diberi kuasa dan kebebasan penuh dalam memerangi rasuah dalam negara ini.

Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru berkata, badan itu mempunyai kuasa yang terhad dan pembaharuan itu akan memastikan tindakan yang holistik diambil terhadap sebarang salahlaku rasuah.

"Cadangan pembaharuan kami ialah menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) sebagai satu suruhanjaya yang diiktiraf dalam Perlembagaan yang melangkaui skop, kawalan dan pengaruh Eksekutif.

"Juga untuk pastikan kebebasan Pesuruhjaya dan memastikan keselamatan Pengerusi serta Pesuruhjaya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Badan lain yang turut terlibat adalah  Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pusat untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), 'Citizens Network for a Better Malaysia dan Transparency Internantional Malaysia (TI-M).

Menurutnya lagi, pihaknya telah pun membentangkan cadangan tersebut kepada SPRM sebelum mendedahkannya kepada umum dan beliau mendakwa ia disambut baik.

Menurutnya lagi, selepas pembaharuan, SBPR akan mempunyai kuasa autonomi penuh, berkuasa terhadap dasar, amalan dan arahan serta berkuasa terhadap pengambilan pegawai dan disiplin pegawai-pegawainya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui Sinar Online usai sidang media tersebut berkata, pembaharuan itu dicadangkan bukan kerana SPRM tidak menjalankan tugas dengan baik.

"SPRM sekarang dilihat ada kebebasan dan ada keinginan untuk melakukan kerja dengan cara terbaik tetapi kebebasan itu agak terkawal. Jadi, kalau suruhanjaya ini diangkat dalam Perlembagaan sama seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kuasanya jauh lebih besar, kebebasan lebih luas dan keboleh menjalankan siasatan lebih banyak.

"Cadangan ini bukan sebab nak kritik SPRM. Mereka buat kerja bagus dan sebab itu kita kena iktiraf kesungguhan itu dengan cara beri kuasa yang mereka mahu," katanya.

Malah katanya, susulan suasana politik sekarang yang melanda negara ini, rakyat boleh melihat keperluan suruhanjaya ini menjadi badan bebas.

"Dalam suasana politik sekarang, kita boleh lihat keperluan kenapa SPRM ini perlu dinaiktarafkan. Sebab ada kemungkinan pihak-pihak tertentu boleh campurtangan dengan kerja-kerja SPRM.

"Jika dinaiktaraf, maka kebebasan itu lebih terjamin, itu yang kita mahu beri kepada SPRM," katanya.

SBPR dicadangkan mempunyai 15 Pesuruhjaya berbanding hanya seorang pada masa ini dan segala penguatkuasaan dilaksanakan Badan Pencegah Rasuah (SPR)

Selain itu, Jabatan Peguam Negara pula disarankan mengasingkan tugas sebagai penasihat kerajaan dengan pendakwaraya seperti yang dilakukan oleh beberapa negara Komanwel yang lain.


Tiada ulasan: