HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Ogos 2015

Tempoh menunggu kini cecah 72 tahun

Tempoh menunggu kini cecah 72 tahun
Mohamad bersalaman dengan bakal jemaah haji semasa Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1436H Peringkat Negeri Sembilan, kelmarin.
 
 
SEREMBAN - Tempoh menunggu bagi masyarakat Islam di negara ini yang ingin mengerjakan ibadah haji kini mencecah sehingga 72 tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail berkata, peningkatan itu berlaku disebabkan mereka yang berdaftar dengan Tabung Haji meningkat kepada 1.78 juta orang berbanding 1.5 juta orang pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata, selain disebabkan pendaftaran semakin meningkat, keputusan kerajaan Arab Saudi yang mengurangkan 20 peratus jemaah daripada Malaysia juga menyebabkan waktu menunggu itu semakin lama.

“Jumlah pendaftaran dilihat semakin hari semakin meningkat. Jika Mei lalu kita mempunyai rekod pendaftaran sebanyak 1.5 juta, tetapi pada Mac tahun ini, kita mencatatkan peningkatan yang ketara sehingga mencecah 1.78 juta.

“Ini menyebabkan tempoh waktu menunggu menjadi semakin lama. Mereka perlu tunggu 72 tahun lagi untuk menghabiskan semua yang berdaftar haji sekarang ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1436H Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Kariah Taman Paroi Jaya , di sini, kelmarin.

Seramai 734 bakal jemaah haji dari negeri ini mengikuti Kursus Perdana Haji anjuran TH yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merasmikan kursus berkenaan mengingatkan kepada semua bakal jemaah haji agar menjaga tahap kesihatan mereka semasa berada di tanah suci.

Beliau berkata, penjagaan kesihatan dan pemakanan yang sempurna dapat mengelakkan gangguan kesihatan berlaku semasa berada di Makkah.

Turut serta pada majlis berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan dan Pengarah TH Negeri Sembilan, Mohamad Khairi Dasemin.


Tiada ulasan: