HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Februari 2018

Betul kata Nazri, hati-hati dengan PAS - penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
SHAH ALAM: Gesaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz agar Umno Barisan Nasional (BN) lebih waspada terhadap PAS, ada benarnya, kata Penganalisis politik, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir.
Beliau berkata biarpun PAS kerap kali dilihat menyokong dasar yang dilaksana kerajaan Persekutuan, parti itu tetap berikrar untuk menentang Umno BN pada PRU14.
"Orang sentiasa nak lihat Pakatan Harapan (PH), nak porak perandakan PH, tetapi selalu terlepas pandang tentang PAS. PAS pula seolah berpura-pura nak berbaik dengan Barisan (BN) tetapi tak buat (berbaik) sebab dia tahu dia punya status quo pada Umno BN. 
"Jadi dalam diam-diam dia  (PAS)mengumpul pengaruh dan mungkin kita tidak duga, kalau kita tidak awasi dia (PAS) dia boleh menang. 
"Sebab ada banyak beberapa perkara berkenaan dengan Islamik, dengan agama Islam sebagainya, yang diputuskan mahkamah baru-baru ini banyak menyentuh sensitiviti umat Islam. Dia (PAS) boleh mengambil peluang disitu untuk memperkuatkan pengaruh PAS di kalangan pengundi," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Nazri sebelum ini berkata Umno BN harus lebih waspada kepada PAS dan bukan hanya memberi tumpuan kepada Pakatan Harapan (PH) sahaja.
Katanya, PAS mempunyai jentera pilihan raya dan akar umbi yang taat justeru parti itu tidak boleh dipandang sebelah mata.
Mengulas lanjut, Salawati berkata bukan sahaja Umno BN, malah PH juga perlu berhati-hati dengan PAS yang dilihat mampu menjadi 'kingmaker' pada PRU14 akan datang.  
"Nak kata dia kuat itu subjektif, kita tidak tahu macam mana besar kekuatan dia. Sebab semua orang takkan dedah dia punya kekuatan. Cuma, berwaspada sebab dia pandai mengambil kesempatan. 
"Perbalahan pembangkang dengan kerajaan, PAS di tengah-tengah sebab dia tidak bersama siapa-siapa. Jadi dia boleh buat keputusan. Jadi nampak dia cuba berbaik-baik dengan BN tetapi tidak menjadi. Dia banyak mengacah acah (untuk berbaik)," ujarnya.
Sebelum ini, PAS bukan saja menolak kerjasama politik dengan Umno tetapi juga enggan menyertai PH yang dibarisi dua musuh ketatnya iaitu DAP dan Amanah.  
Meskipun Umno-BN berkali-kali menghulurkan tangan untuk menjalinkan kerjasama politik, namun PAS tidak sesekali menyambutnya malah tanpa berselindung akan menjadi saingan utama parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak itu pada PRU14.

Tiada ulasan: