KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman
penjara selama tiga tahun dan denda RM10,000 terhadap dua pemandu
selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya
sehingga menyebabkan kematian tiga beranak dalam kemalangan tragis di
Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), tiga tahun lalu.
Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian terhadap dua pemandu Myvi
itu, Siti Noor Aini Mohd Said, 39, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin,
34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas
kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati keterangan daripada kedua-dua tertuduh tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata,” katanya.
Menurutnya, tempoh penjara boleh ditambah dua tahun lagi sekiranya
tertuduh gagal membayar denda selain masing-masing hilang kelayakan
memegang lesen memandu selama lima tahun.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam, Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini serta
peguam, S.N. Seelan yang mewakili Mohammad Fizal Reza untuk
menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut sehingga rayuan
selesai di Mahkamah Tinggi.
Jaminan terhadap kedua-dua tertuduh turut dinaikkan daripada RM9,000
kepada RM14,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta
syarat tambahan kedua-duanya perlu melapor diri sebulan sekali di balai
polis berhampiran sehingga kes selesai.
Mengikut pertuduhan, penyelia restoran, Siti Noor Aini dan Mohammad
Fizal Reza yang bekerja sendiri didakwa memandu secara berbahaya kepada
orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan
isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam
bulan, Nur Firuza Annisa.
Kejadian didakwa berlaku di Kilometer 6 Lebuhraya Duke, dari arah Ulu
Klang ke Jalan Duta di sini antara pukul 12.31 tengah malam dan 1.05
pagi, 2 Mei 2015.
Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada tiga anak,
memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih
manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya
mata lelaki memandu kereta W 5192 F berwarna kuning.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga
RM20,000 jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan