Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
AGAK hangat juga nampaknya reaksi penyokong PAS
dan penyokong PAN ke atas tindakan Pengerusi PAN Kelantan, Cikgu Wan
Abdul Rahim Wan Abdullah, memanggil PAS dengan gelaran "PIGS" (PAS
IKATAN Gagasan Sejahtera) dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya
Pakatan Harapan (PH) Pasir Mas pada 10 Februari 2018.
Turut mengulas mengenai tindakan memanggil PAS dengan gelaran
"PIGS" ini ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN, Ustaz Zolkharnain
Abidin Al-Abyadhi, yang menulis di dalam Facebook beliau pada 12
Februari 2018 satu komentar yang mewajarkan tindakan ini di atas alasan
bahawa pemimpin PAS juga memanggil parti itu dengan gelaran PAN.
Tulis Ustaz Zolkharnain, di bawah “PIGS dan PAN”:
“1. Sebaik saja Amanah tertubuh, setahu aku, tidak ada seorang pun
pemimpin PAS yang menyebut Amanah. Semuanya menyebut PAN. Pengikut
mereka juga begitu.”
“7. Jadi, orang PAS tak perlulah kecil hati sangat apabila disebut
"PIGS" untuk merujuk kepada PAS - Ikatan - Gagasan Sejahtera. Lagi pun
gabungan "PIGS" memang wujud pun.”
“8. Kalau kalimat itu bermaksud babi-babi sekali pun, binatang itu
juga makhluk Tuhan. Ia cuma haram dimakan, tapi tak haram disebut dan
dipegang.”
Pada hemat saya, tindakan Pengerusi PAN Kelantan memanggil PAS
dengan gelaran PIGS dan tindakan Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN
mempertahankannya adalah manifestasi kepada kecelaruan hala tuju serta
kelemahan organisasi dan disiplin parti yang terdapat di dalam PAN
walaupun PAN sudah mencapai usia dua tahun.
Seperti diketahui, Fasal 2.3 Perlembagaan PAN menyebutkan bahawa “cogan kata PAN” adalah “AMANAH, PROGRESIF, PEDULI”:
Seperti diketahui, Fasal 3 Perlembagaan PAN menggariskan bahawa “dasar dan tujuan PAN” adalah untuk:
(1) Memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan.
(2) Mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Li Al-‘Aalameen).
(3) Melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang
baik (good governance) selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan,
kesaksamaan, kompetensi dan ketelusan.
(4) Mendukung pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah),
keterbukaan dan prinsip demokrasi di dalam kerangka Perlembagaan
Malaysia.
(5) Menggembleng seluruh segmen masyarakat dalam wadah perjuangan
politik inklusif, merentasi jurang kaum, budaya dan kepercayaan agama.
(6) Menghormati dan meluhuri Perlembagaan Persekutuan Malaysia
serta mempertahankan kebebasan asasi dan kedaulatan undang-undang.
Terlalu sukar untuk tindakan Pengerusi PAN Kelantan memanggil PAS
dengan gelaran PIGS dan tindakan Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN
mempertahankannya disifatkan sebagai selari dengan “cogan kata PAN”
serta “dasar dan tujuan PAN”.
Ini kerana di dalam al-Qur’an yang menjadi sumber utama ajaran
Islam sendiri tercatat jelas larangan memanggil antara satu sama lain
dengan gelaran yang buruk (Surah al-Hujurat: 11) dan kecelakaan besar
bagi mereka yang suka mencaci dan mengeji (Surah al-Humazah: 1).
Apatah lagi bila Penasihat Umum PAN, Ustaz Ahmad Awang sendiri,
telah, di dalam kenyataan media rasmi beliau pada 2 April 2017,
memberikan arahan rasmi:
“Saya menasihatkan ahli PAN di semua peringkat agar sentiasa
bersabar dalam menghadapi pelbagai tohmahan dan karenah pihak tertentu
dalam menangani perbezaan pendapat dan pendekatan politik semasa.
Biarlah apa orang lain nak kata, namun kita tetap dengan pendekatan dan
manhaj yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sesuai dengan perintah Allah
seperti firman-Nya dalam surah Al-Imran ayat 159.”
Lebih jelas lagi adalah arahan rasmi Setiausaha Agung PAN, Mohd
Anuar Tahir, di dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017
yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam pada 5 Februari
2017 yang berbunyi:
“Maka saya mengarahkan hari ini kepada semua ahli dan penyokong PAN
agar menghentikan segala kata-kata kesat terhadap parti lawan kita
termasuk PAS. Ini arahan rasmi daripada parti. Jika anda berada dalam
grup Whatsapp yang menggunakan kata-kata menghina dan kesat, keluar
segera dari grup itu.”
Soalnya sekarang ialah kenapakah Pengerusi PAN Kelantan dan
Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN berani mencabar arahan rasmi Penasihat
Umum PANdan arahan rasmi Setiausaha Agung PAN?
Tidakkah ini semua adalah manifestasi jelas kepada kecelaruan hala
tuju serta kelemahan organisasi dan ketiadaan disiplin parti di dalam
PAN?
Tidak peliklah bila hari ini Ketua Pemuda PAN Wilayah Persekutuan,
Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan, menyelar keras Pengarah Hal Ehwal
Syariah PAN dengan menulis di dalam Facebook beliau begini:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan