Menteri Fadillah Yusof berkata PLUS dalam proses mengalihkan aset.
PARIT BUNTAR: Kementerian Kerja Raya menjangkakan kerja-kerja perobohan struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam, Selangor akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Mac ini.
Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata PLUS Malaysia Berhad memaklumkan perkara itu pada kementerian dan proses pengalihan aset membabitkan peralatan tol, papan tanda dan sebagainya giat dijalankan sebelum perobohan bermula.
“Sekarang ini, PLUS dalam proses mengalihkan aset dan apabila telah sempurna, barulah kerja-kerja meroboh struktur bangunan akan dapat dibuat.
“Kita turut dimaklumkan program pengurusan trafik juga akan dijalankan bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu semasa kerja perobohan sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Hospital Parit Buntar hari ini.
Sebelum ini, segelintir pihak terutama pengguna lebuh raya berkenaan mahu plaza tol itu dirobohkan selepas berlaku beberapa kemalangan meragut nyawa.
Beliau berharap pengguna lebuh raya berwaspada dan tidak memandu dalam keadaan berbahaya, sekali gus mengelak daripada berlaku kesesakan dan kemalangan yang boleh meragut nyawa.
“Saya menyeru pengguna jalan raya supaya berhati-hati sebab akhirnya yang menentukan kita selamat atau tidak di jalan raya adalah diri kita sendiri. Kita kena pandu secara berhemah dan pastikan berjaga-jaga untuk elakkan sebarang kemalangan tidak diingini daripada berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan