HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Februari 2018

Gimik terbaru Jamal, derma RM7 bilion kepada PPBM

 
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, sumbangan itu boleh digunakan PPBM bagi menghadapi PRU14 dan rakyat yang dibebani kenaikan kos sara hidup, tidak perlu menyumbang kepada PPBM lagi.
 
 
jamal_bank1


Jamal Yunos menunjukkan replika cek dan meminta rakyat yang dibebani kenaikan kos sara hidup supaya tidak menyumbang kepada PPBM.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini tampil dengan gimik terbarunya, iaitu menderma AS$1.8 bilion atau kira-kira RM7 bilion kepada PPBM.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, sumbangan itu boleh digunakan PPBM yang diketuai sekumpulan bekas pemimpin Umno, untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya sebagai rakyat Malaysia terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada PPBM dengan cek berjumlah AS$1.8 bilion. Inilah jumlah yang akan saya masukkan, cek peribadi saya.

“Saya hendak beritahu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi meminta derma daripada rakyat Malaysia kerana saya sudah menyumbang,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, sebelum memasukkan sekeping cek peribadi ke mesin deposit cek di Bank CIMB.

Minggu lalu, PPBM melancarkan tabung derma bagi membantu gerak kerja parti itu, dalam usaha mendapatkan sokongan dan penyertaan rakyat untuk menjayakan hasrat membentuk kerajaan baharu menggantikan Barisan Nasional.

jamal_bank
Jamal Yunos menunjukkan resit deposit cek selepas mendermakan kira-kira RM7 bilion kepada PPBM untuk dijadikan dana PRU14.

Jamal berkata, sumbangan ini juga bertujuan meringankan beban rakyat disebabkan kenaikan kos sara hidup dan ditambah pula gesaan untuk menderma kepada PPBM.

“Selepas saya masukkan duit, saya harap akaun tersebut dibubarkan. Tidak perlu susahkan rakyat Malaysia lagi, banyak lagi keperluan rakyat Malaysia.

“Dia (Dr Mahathir) kata, keperluan seharian semakin meningkat, rakyat semakin terbeban, tetapi ditambahkan lagi dengan bebanan hendak kutip derma.

“Selepas ini, jika hendak menderma, dermalah kepada anak yatim, surau dan masjid. Jika untuk Dr Mahathir, saya sudah dermakan.”

Ditanya dari mana beliau mendapat RM7 bilion itu, Jamal berkata: “Ini adalah duit saya”.

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia itu turut mendakwa Dr Mahathir membawa masuk sejumlah wang untuk perbelanjaan pembangkang sebelum dan selepas PRU14.

“Beliau sudah bawa masuk sejumlah RM7 bilion, sudah sampai duit untuk hadapi pilihan raya akan datang.

“Jumlah itu digunakan untuk pilihan raya, digunakan untuk membeli wakil rakyat yang menang setelah pilihan raya akan datang,” dakwanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: