Jabatan Latihan Khidmat Negara berkata testimoni bekas pelatih menunjukkan keberkesanan transformasi PLKN.
PETALING JAYA: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menunjukkan testimoni untuk menyangkal dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang mendakwa program itu “seperti kem percutian” dan gagal menghasilkan belia patriotik.
Menurut JLKN, testimoni daripada 3 bekas pelatih iaitu seorang Melayu, Cina dan India antara pandangan yang diambil bagi menilai keberkesanan transformasi yang diinginkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan mereka, PLKN yang ditransformasikan atau PLKN 2.0 menjadikan mereka lebih cintakan negara dan memahami kepentingan hidup secara harmoni.
“Masalah perkauman boleh tercetus disebabkan kurangnya semangat perpaduan dalam diri setiap individu,” kata seorang bekas pelatih Cecilia Raj Selvaraj.
Seorang lagi bekas pelatih, Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz berkata PLKN 2.0 mengekalkan teras membentuk jati diri dan patriotisme di samping membentuk keyakinan diri.
“Ia juga merupakan platform membina kerjaya pada masa sekarang dan memberi peluang pekerjaan kepada generasi muda dalam sektor tenaga mahir,” kata Nazrin.
JLKN menjawab laporan FMT memetik pegawai-pegawai tentera bersara yang berkata program NS dikendalikan oleh kakitangan yang tidak berpengalaman.
Mejar (B) Ismail Jr Feisol berkata keadaan negara sekarang menunjukkan PLKN gagal menghasilkan generasi yang cintakan negara, manakala Leftenan Kolonel (B) Mohamad Sani berkata PLKN menghasilkan lepasan yang tidak layak dikelaskan sebagai separa tentera walaupun berbilion sudah dibelanjakan.
Patriot bercadang memperkenalkan bengkel khas yang dikendalikan oleh pengajar berpengalaman dan berkepakaran bagi melahirkan generasi patriot, bersatu padu dan berkepimpinan, serta layak menyertai pasukan keselamatan jika mahu.
2.0 lahirkan pekerja mahir
Mempertahankan PLKN 2.0, jabatan berkata transformasi mengambil pandangan daripada agensi kerajaan dan swasta, pemain industri, pengusaha dan ibu bapa antara lain.
Hasilnya konsep baharu yang dilaksanakan melalui 2 fasa. Fasa 1 mengandungi 8 modul baharu iaitu “Fit4Life”, “Tech+Talk”, “i-Upgrade”, “MalaysiaKu”, “Be Safe, Be Alert”, “Service Learning”, “Kerohanian” dan “myFuture”.
“Modul-modul ini telah dibangunkan oleh tenaga pakar dalam bidang masing-masing,” kata JLKN.
Pelatih kemudian mengikuti Fasa 2 iaitu latihan bidang kemahiran di lebih 400 institusi latihan kemahiran awam atau swasta selama 3 bulan minimum sehingga 36 bulan maksimum.
“Program ini bermatlamatkan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir pada masa hadapan dan mengurangkan kebergantungan kpeada tenaga mahir daripada kalangan pekerja asing.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan