HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Februari 2018

‘Harapan perlu dibenar pantau undi pos’


 Nurul-Izzah

KEADILAN DAILY


Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar membenarkan Pakatan Harapan (HARAPAN) memantau proses dan menjaga peti undi pos.

Desakan itu dibuat kerana pilihan raya umum akan datang menyaksikan peningkatan 150 peratus jumlah pengundi pos dan awal berbanding 400,000 pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

“Saya risau pembolotan sistem undi pos yang menjurus kepada satu pihak sahaja mampu mengakibatkan parti pemerintah sedia ada menang kerusi parlimen marginal.

“Ia pernah berlaku seperti yang dapat dilihat menerusi 30 kerusi parlimen yang dimenangi mereka dengan majoriti rendah pada PRU lalu.

“Maka mungkin sahaja parti pemerintah dapat memenangi majoriti dua pertiga Parlimen dan menguasai Dewan Rakyat hasil bantuan undi pos yang berat sebelah pada pilihan raya umum ke-14,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, anggota parlimen Lembah Pantai itu menggesa SPR agar mengenakan prosedur yang lebih ketat dan telus bagi proses undi pos.

“Semua bentuk undi,termasuk undi pos, akan menentukan masa depan negara selagi ia tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Sementara itu, kumpulan pendesak reformasi pilihan raya, BERSIH menggesa SPR menghentikan pendaftaran pengundi pos dan menilai semula proses permohonan undi pos.

“Bersih telah mendesak agar undi pos dihentikan kerana ia berpeluang untuk disalah guna, kurang jelas, kurangnya keselamatan terhadap penyimpanan peti undi, tidak memberi notis kepada calon, dan kurang penguatkuasaan bagi menjamin pengundi (sama) tidak menjadi pengundi pos dan awal serentak.

“Langkah untuk meluaskan kategori pengundi pos adalah pelanggaran terhadap prinsip hak untuk mengundi, keselamatan undi, integriti pilihan raya dan proses demokrasi,” kenyataan BERSIH dipetik.

SPR pada 19 Februari lalu mengumumkan bahawa 12 kategori penjawat awam boleh menjadi pengundi pos jika mendapat pengesahan majikan yang mereka akan bertugas pada hari mengundi.

Antara kategori tersebut adalah petugas hospital dan klinik kerajaan, sukarelawan polis, Angkatan Pertahanan Awam Negara, Jabatan Imigresen dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Tiada ulasan: