Anggota masyarakat Cina yang tinggal di sekitar Masjid Jamek Tasek Gelugor Pulau Pinang melhirkan rasa terharu atas inisiatif jawatankuasa masjid berkenaan yang menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina pada 19 Februari lalu di masjid itu.
Peristiwa berkenaan merupakan kali pertama berlaku dan mereka merasakan ia sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna.
Majlis berkenaan biarpun agak sederhana, namun ia memberi kesan yang sangat berharga kepada mereka kerana diraikan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tasek Gelugor.
Salah seorang yang hadir, penyelia kilang, Tan Chooi Teit , 51 tahun, berkata dia gembira sebaik menerima jemputan daripada pihak kariah masjid yang menganjurkan program untuk meraikan perayaan tersebut.
Beliau yang hadir bersama ahli keluarga teruja kerana diraikan dalam majlis tersebut malah tidak menyangka turut dibawa melawat kawasan sekitar masjid bagi merasai pengalaman berada di dalam masjid.
Ramai pihak teruja dengan inisiatif yang diambil oleh pihak masjid berkenaan sekali gus mencadangkan suapaya ia diadakan setiap tahun dan dikembangkan fungsinya untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat setempat.
Bagi pihak masjid, pihaknya menganggap ia adalah salah satu cara dakwah dan usaha memberi kefahaman kepada golongan bukan Islam tentang kemurnian Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan