DETIK DAILY
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
DI DALAM Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam, 20
Februari 2018, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyebut bahawa
“sebelum kita menyiapkan manifesto ramai jugak daripada
pemimpin-pemimpin PH yang telah buat kenyataan tertentu”, bahawa “kita
tidak terikat dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tertentu jika
kita dapati kenyataannya itu tidak dapat dilaksanakan oleh kita apabila
kita menerajui kerajaan”, bahawa “kita harap kita akan dapat
melaksanakan (60 janji-janji yang sudah dibuat) walaupun mungkin tidak
seperti yang diharapkan oleh rakyat” dan bahawa “kita berpendapat bahawa
dana kerajaan mungkin tidak boleh menampung janji-janji yang
keterlaluan sebab itu kita akan membuat janji cuma setakat yang kita
mampu sahaja”.
Bagi mereka yang sentiasa mengamati dari dekat perkembangan politik
semasa tanah air seperti saya, tidak sukar untuk menelah siapakah
pemimpin-pemimpin PH yang telah membuat janji-janji yang keterlaluan ini
dan apakah janji-janji keterlaluan yang telah pemimpin-pemimpin PH ini
buat yang tidak dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir.
Salah satu nama pemimpin tertinggi PH yang biasa membuat janji-janji
keterlaluan ini adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng, khususnya membabitkan janji untuk
menghapuskan tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan di Jambatan Pertama
Pulau Pinang jika PH berkuasa. Nampaknya janji untuk menghapuskan tol
ini sangat penting kepada Lim Guan Eng kerana ia telah berulangkali
diumumkan oleh beliau kepada rakyat seperti yang di antara lainnya
pernah dilaporkan oleh portal berita Malay Mail Online pada 20 Oktober
2015 dan oleh akhbar rasmi DAP, Roket Kini, pada 16 Januari 2017. Janji
untuk menghapuskan tol yang dibuat oleh Lim Guan Eng ini juga dilihat
didokong penuh oleh pemimpin DAP yang lain seperti terbukti melalui
kenyataan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, di dalam akhbar rasmi
PAN, Amanah Daily, pada 25 Januari 2017, dan kenyataan Ahli Parlimen
Serdang, Dr Ong Kian Ming, di dalam akhbar rasmi DAP, Roket Kini, pada
28 November 2017.
Malangnya, Tun Dr Mahathir, selaku Bapa Tol Malaysia, di dalam dalam
satu sesi bual bicara mengenai dasar PH pada 10 Januari 2018 telah
mempertahankan pengenaan tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan di Jambatan
Pertama Pulau Pinang ini dengan berkata: “Masih ramai orang yang tidak
puas hati dengan tol yang dikenakan tetapi kalau tol tak dikenakan
langsung sukar bagi kita untuk menyelenggara Lebuh Raya Utara-Selatan
ini dan tol sebenarnya di Malaysia kalau dibanding dengan negara lain
memang pun lebih jauh lebih murah. Di negara Jepun saya dapati bahawa
satu jambatan yang dibina, untuk menggunakan jambatan itu satu hala
bayarannya adalah sebanyak RM270, sehala, pergi balik lebih daripada
RM500. Tetapi kita tahu bahawa Jambatan Pulau Pinang toll rate-nya ialah
RM7 sejak ia dibina pada tahun 80-an, tak naik sekali pun, dan yang
baru ini pun jugak RM7. Jadi saya berpendapat bahawa walaupun ada yang
mengeluh kerana agak terlalu tinggi toll rate ini tapi sebenarnya ini
two way, pergi balik, kita bayar cuma RM7, sedangkan jambatan yang
lebih kurang sama di negara Jepun toll rate-nya ialah lebih daripada
RM500. Fikir-fikirlah sama ada kita terlalu tamak mengenakan toll rate
yang terlalu tinggi.”
Bagi saya, kenyataan Tun Dr Mahathir di dalam Sidang Media Majlis
Presiden PH semalam, selain merupakan satu tamparan terbuka kepada
pemimpin-pemimpin PH yang telah membuat janji-janji yang keterlaluan
ini, khususnya kepada Lim Guan Eng dan pemimpin DAP, sebenarnya
mencerminkan satu masalah besar yang dijangka akan berlaku jika PH
berkuasa, iaitu pertembungan di antara Mahathirisme dan aspirasi
pemimpin-pemimpin PH yang lain. Tun Dr Mahathir mungkin sahaja boleh
berpura-pura untuk merombak kembali segala legasi beliau dengan kononnya
berjanji untuk “melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah
kerajaan yang mengamalkan urustadbir yang baik” seperti yang diumumkan
oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu, pada 18 Februari 2018, tetapi yakinkah
kita bahawa, seperti yang ditanyakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada
27 Januari 2018,“do you think leopard will change its spots?”
Pengenaan tol adalah salah satu legasi Tun Dr Mahathir dan salah satu
komponen Mahathirisme, dan jika di dalam isu seperti pengenaan tol ini
pun Tun Dr Mahathir masih bertegas mempertahankan legasi beliau, apa
jaminan beliau tidak akan mempertahankan komponen-komponen lebih penting
Mahathirisme jika PH berkuasa?
Seronok juga untuk dilihat reaksi pemimpin-pemimpin PH yang kononnya
berjiwa populis yang telah membuat janji-janji yang keterlaluan ini ke
atas pengakuan terbuka Tun Dr Mahathir bahawa Manifesto PH “mungkin
tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat”.
Kita sama-sama tunggu dan lihat sama ada Lim Guan Eng dan pemimpin DAP
mempunyai maruah untuk mempertahankan cadangan janji untuk menghapuskan
tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan di Jambatan Pertama Pulau Pinang
yang dibuat oleh Lim Guan Eng ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan