KEADILAN DAILY
Langkah Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan segera untuk Langkawi selepas Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan akan bertanding di pulau itu dalam pilihan raya umum ke-14 harus diterima dengan sikap waspada, kata Anggota Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail.
Menurutnya, faktor pemilihan masa janji itu ditaburkan menjadikan ia tidak lebih daripada janji-janji manis menjelang pilihan raya umum.
“Semakin hampir pilihan raya umum bermacam-macam peruntukan kerajaan Umno BN umumkan untuk rakyat.
“Rakyat kena ingat bahawa kerajaan Umno BN hanya pandai memberi kata-kata manis kepada rakyat semata-mata menjelang pilihan raya umum ke-14 ini,” katanya dalam kenyataan.
“Saya suka mengingatkan kepada Najib dan kerajaan Umno BN supaya jangan cuba untuk memberi harapan palsu kepada rakyat kerana rakyat tidak bodoh lagi.
“Setiap kali PRU taktik sama digunakan oleh Umno BN untuk memenangi hati rakyat,” katanya.
Langkawi adalah antara kerusi Parlimen yang dilaporkan diintai oleh calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kunjungan Dr Mahathir ke pulau itu yang sinonim dengan dirinya baru-baru ini menyebabkan perdana menteri mengumumkan lima projek persekutuan baru bernilai RM1.315 bilion untuk Langkawi.
Selain projek bernilai RM600 juta untuk mengatasi masalah bekalan air, peruntukan berkenaan juga turut meliputi pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baru petugas kesihatan bernilai RM135 juta, balai bomba dan kuarters baru di Padang Matsirat bernilai RM30 juta dan kerja menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang-Pulapol Langkawi bernilai RM50 juta.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman yakin orang Langkawi masih mengenang jasa Dr Mahathir merancakkan ekonomi Langkawi selaku pulau bebas cukai sejak 1987.
“Saya yakin pengundi-pengundi di Langkawi matang dan bijaksana dalam menilai siapa yang sebenarnya menabur jasa dan siapa yang sebenarnya retorik dalam meraih undi.
“Saya menyeru seluruh penduduk Langkawi untuk memartabatkan Dr Mahathir dan calon-calon Harapan sebagai wakil rakyat.
“Seterusnya menumbangkan Umno dan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.
“Harapan menang di Langkawi bererti menang di Putrajaya,” kenyataan beliau dipetik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan