KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah
(ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa
ke-84.
Tempoh perintah berkurung bagi fasa baharu itu dilanjutkan mulai petang esok hingga 22 Mac ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu
dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di
tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan,
Sandakan dan Beluran dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit
supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan
perintah berkurung.
"Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah
bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam
keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau
peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari
selatan Filipina.
"Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan
bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba
menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas
sempadan.
"Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,
yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan
ESSZONE," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan
dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat
dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan
kehadiran kapal pasukan keselamatan.
"Saya memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan untuk
mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi
tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung
yang mendesak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan