HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mac 2018

Xavier nafi PH Pusat ambil alih rundingan kerusi DUN Selangor

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr Xavier Jeyakumar menafikan dakwaan bahawa proses agih kerusi DUN di negeri itu kini diambil alih Majlis Presiden PH (MPPH).
 
"Tiada, tiada. Itu salah, belum lagi (dihantar ke MPPH). (Sekarang masih) di dalam peringkat negeri," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Selangor, Ir. Izham Hashim bahawa rundingan agih kerusi DUN negeri itu sudah diambil alih jawatankuasa PH Pusat.
 
Xavier kemudiannya menyatakan rasa hairannya bagaimana Izham mendapat maklumat sedemikian berikutan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri memberikan arahan kepada PH Selangor agar meneruskan rundingan berkenaan.
 
"Saya tidak tahu dia dapat arahan dari siapa tetapi yang saya tahu pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor suruh kita berunding," katanya lagi.
 
Izham memberitahu Antarapos, PH Pusat akan memuktamadkan agihan kerusi di Selangor pada minggu hadapan memandangkan gagasan itu sedang berbincang soal yang sama melibatkan negeri Terengganu dan Pahang.
 
Manakala, negeri yang hampir selesai adalah Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang sementara yang sudah selesai adalah Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Perlis.
 
PH Selangor sebelum ini diberi tempoh sehingga Isnin (26 Februari) lepas untuk menyelesaikan pertindihan tuntutan kerusi sesama empat parti komponen di negeri itu sebelum diambill alih PH Pusat.
 
Namun PH Selangor gagal memuktamadkan rundingan itu pada tarikh yang ditetapkan.
 
Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13 kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah 2 kerusi. 
 
PAS mempunyai 13 kerusi dan Umno 12 kerusi. 


Tiada ulasan: