GEORGETOWN – Kes kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur disimbah air panas oleh bapanya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini Khamis lepas, bukan disebabkan dia mencuri wang tetapi kerana makanan habis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang
berkata berdasarkan siasatan polis, bapa kanak-kanak terbabit naik angin
selepas mendapati makanan di rumah dihabiskan oleh empat anaknya yang
berusia tiga hingga sembilan tahun.
“Kejadian mangsa dikatakan mencuri wang ibunya sebanyak
RM10 merupakan kejadian lama dan bukan punca sebenar suspek bertindak
menyimbah air panas kepada mangsa sehingga melecur tiga peratus di
lengan, rusuk dan dada kanan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek
berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru
pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar namun mendapati makanan
yang disediakan isterinya yang berumur 38 tahun telah dihabiskan oleh
anak-anaknya.
“Dia yang naik angin dan berang kerana lapar bertindak
mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi
serta memukul mereka. Suspek juga telah bertindak menyimbah semangkuk
air panas yang diambil daripada mesin penapis air minuman di ruang tamu
ke arah mangsa,” katanya.
Che Zaimani berkata, tindakan lelaki itu disaksikan oleh
isterinya namun wanita tersebut bukan setakat melihat dan tidak
menghalang perbuatan suspek tetapi turut sama memarahi mangsa yang
merupakan anak perempuan tunggal mereka.
Katanya, selepas kejadian itu, pasangan suami isteri
terbabit melarikan diri bersama anak bongsu mereka kerana bimbang
ditahan polis.
“Anak sulung serta anak ketiga suspek kini berada bawah
jagaan nenek mereka iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat
sama. Polis kini giat mengesan suspek yang melarikan diri dengan menaiki
kereta jenis Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftaran PCK
9818,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan