HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 September 2019

2 lagi sekolah di Klang ditutup

fazleen safina 

 

Sekolah perlu ditutup serta-merta jika bacaan IPU lebih 200: JPS

SHAH ALAM– Dua lagi sekolah di sekitar Johan Setia, Klang dekat sini diarah tutup serta merta, berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu masih melebihi tahap 200 iaitu kategori sangat tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) dalam satu kenyataan hari ini, berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga dan SK Kampung Pendamar, yang mana kedua-duanya berada dalam radius bacaan IPU sangat tidak sihat.

Tiga sekolah diarah tutup serta merta pagi tadi kerana bacaan IPU melebihi 200 iaitu SK Jalan Kebun, SK Kampung Johan Setia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

JPS berkata, mana-mana sekolah di negeri ini yang mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak pentadbiran perlu mengambil tindakan seperti mana dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019 dengan menutup institusi itu serta merta sehingga keadaan kembali pulih.

“Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam dan akan diteruskan seperti dijadualkan.

“Semua sekolah terbabit diingatkan supaya merujuk kepada Surat Siaran KPM berkaitan perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat siaran tersebut,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, senarai sekolah yang diarah tutup akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat jam 4 petang, bacaan IPU di Johan Setia adalah 200, Shah Alam (129), Klang (127), Banting (111), Petaling Jaya (121) dan Kuala Selangor (133).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). -Bernama


Tiada ulasan: