HALAMAN SANTAI

Khamis, 12 September 2019

Takiyuddin: Tragedi Memali jadi 'kecil' dengan penyatuan ummah PAS-Umno


    Peristiwa Memali yang mengorbankan 18 orang - termasuk 14 ahli dan penyokong PAS pada 1985 - kini dianggap sebagai ketentuan takdir oleh parti itu.

Malah, kejadian berkenaan juga dianggap "kecil" dengan adanya program yang membawa PAS dan Umno bekerjasama melalui piagam pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata sebagai orang Islam PAS menganggap kejadian Memali itu sebagai takdir dan ia diterima seadanya.

“Peristiwa itu telah menjadi kecil dengan adanya penyatuan ummah ini - itulah kesimpulannya,” kata beliau pada sidang media menjelang Himpunan Penyatuan Ummah di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Takiyuddin ditanya mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan Umno dan PAS sekarang.

Memali ialah sebuah kampung terletak di kawasan pedalaman Baling, Kedah, yang pernah menyaksikan insiden berdarah membabitkan pasukan keselamatan negara - yang ketika itu ditunjangi Umno, dan bersama BN - dengan penyokong PAS.

Hasil daripada pertembungan dua pihak terbabit seramai 18 orang termasuk 14 ahli PAS terbunuh dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. Turut terkorban, anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi tersebut.

Dr Mahathir Mohamad ialah perdana menteri ketika itu.

Dilihat memaafkan Umno
 
Polis mendakwa insiden itu tercetus apabila operasi menangkap tokoh PAS, Allahyarham Ibrahim Mahmud - atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya - mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan tentangan daripada penduduk kampung tersebut.

Ibrahim pada ketika itu dituduh mengancam keselamatan negara dan memecah-belahkan masyarakat dengan pandangannya yang dikatakan keras.

Bagaimanapun, PAS mendakwa operasi yang digelar dengan nama Operasi Angkara itu dilancarkan kerana bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

Ibrahim turut terkorban dalam insiden berdarah itu.

Ditemui kemudian, Takiyuddin berkata PAS juga menganggap keluarga yang terlibat dalam tragedi itu sudah memaafkan pihak yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Beliau juga berkata penerangan sudah diberikan kepada mereka yang terdiri daripada ahli PAS di Baling.

"Ahli pas patuh kepada parti, jadi di situ mereka dilihat (sudah) memaafkan Umno.

"Memali peristiwa sudah berlaku (sebagai) takdir. Kita sebagai orang Islam, kita terima seadanya," kata anggota parlimen Kota Bharu berkenaan.
Kata Takiyuddin, masyarakat di Memali sudah akrab dengan Umno.

"Apa lagi orang lain nak fikir lebih-lebih? Jadi tidak ada masalah, malahan saya difahamkan majlis serupa diadakan di Memali iaitu majlis memperingati syuhadah akan diadakan dalam bentuk tersendiri," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, menjelaskan acara himpunan yang bermula esok dijangka akan mengumpulkan lebih ramai penyokong berbanding sasaran awal.

“Walaupun dalam sidang media lalu kita sasarkan 10,000 penyokong tetapi berdasarkan perkembangan terkini, jumlah sudah berlipat ganda,” katanya.

Beliau juga menjelaskan jemputan turut diserahkan kepada parti kerajaan.
“Kita nak orang dengar apa program ini, yang ia tidak terbatas kepada PAS dan Umno sahaja. Jadi lebih baik kita jemput mereka dan terangkan pasal piagam tersebut," katanya.

Piagam berkenaan akan ditandatangani Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak Umno, dan Abdul Hadi Awang (PAS).

Kedua-dua parti menyasarkan 10,000 ahli serta penyokong akan hadir pada majis itu.

Bagaimanapun, MCA kelihatan menjarakkan diri daripada perhimpunan itu dan mengatakan ia adalah "kerjasama yang erat antara Umno dan PAS."

Presiden MIC, S Vigneswaran pula berkata beliau hanya akan hadir sebagai saksi dan tidak memainkan peranan dalam perjanjian itu.

Tiada ulasan: