'Negara kurang tenaga kerja, bukan kurang peluang pekerjaan'
IPOH
– Kerajaan akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur bersara
mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini, seperti yang
dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran
berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian
Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan
berkenaan perkara itu.
“Kita telah memberi beberapa pandangan
dan tujukan kepada Kementerian Kewangan termasuk mengenai permintaan
kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
pemberita pada program Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam,
Ipoh bersama Adun Kepayang, Dr. Ko Chung Sen dan Datuk Bandar Ipoh Datuk
Ahmad Suaidi Abdul Rahim di sini, hari ini.
Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola
bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020
selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.
Ditanya
sama ada cadangan itu relevan kerana dikhuatiri mengurangkan peluang
pekerjaan kepada generasi muda, Kula Segaran berkata, cadangan
peningkatan had umur bersara itu dilihat mampu memberi kebaikan kepada
negara pada masa hadapan.
“Negara ini kekurangan tenaga kerja dan
bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja
asing disebabkan negara ini kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Katanya, kebanyakan kadar pengangguran di
negara ini terdiri daripada golongan muda termasuk graduan yang baru
menamatkan pelajaran.
Beliau berkata, golongan muda yang tidak
mempunyai pekerjaan dicadangkan menyertai Pendidikan Latihan Teknikal
dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran bagi
melahirkan tenaga kerja mahir tempatan, sekaligus memudahkan mereka
mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan