HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 September 2019

Ismail ada 24 jam, tarik balik dakwaan 'DAP kawal sijil halal' - MP

MALAYSIAKINI

   
Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menuntut permintaan maaf dari Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob susulan dakwaan pensijilan halal Malaysia kini telah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Sekiranya Ismail gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam, Lim berkata akan membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai perkara tersebut.

Ismail didakwa membuat kenyataan tersebut ketika berucap di Himpunan Penyatuan Ummah 2019 (HPU 914) pada Jumaat lalu.

Lim berkata, sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan bekas menteri kabinet, Ismail wajar bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuatnya.

“Beliau telah membuat tuduhan palsu bahawa proses pensijilan halal di bawah DAP.

"Kini Jakim juga sudah membuat kenyataan nafi perkata tersebut. Jelas dia telah memperdayakan orang ramai,” katanya kepada Malaysiakini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menafikan kenyataan naib presiden Umno itu dan menjelaskan sehingga kini proses pensijilan halal Malaysia masih di bawah tanggungjawab pihaknya dan pihak berkuasa agama Islam.

“Jakim menafikan kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa sehingga kini Jakim bersama pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri masih lagi merupakan pihak yang bertanggungjawab penuh terhadap urusan pensijilan halal Malaysia,” kata Unit Komunikasi Korporat Jakim.

Lim berkata Ismail perlu melakukan tindakan yang betul dengan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.

“Saya mahu Ismail menarik balik penipuannya dan memohon maaf kepada Jakim serta rakyat kerana menghasut kebencian agama mengunakan isu pensijilan halal itu.

“Ismail mempunyai waktu sehingga pukul 3 petang pada 16 September untuk menarik balik dan memohon maaf, jika gagal saya akan meminta pihak berkuasa agama Islam, ketua polis dan SKMM untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada naib presiden Umno itu,” kata MP Kepong.

Terdahulu, The Star memetik Ismail berkata, “walaupun kerajaan baru kelihatan diterajui oleh orang Melayu, tetapi secara tidak langsung dijalankan oleh DAP.”

Kata Ismail, pensijilan logo halal yang dulunya di bawah Jakim telah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

“Dan kita juga tahu siapa yang berada di Kementerian Kewangan,” kata wakil rakyat Bera itu pada himpunan Jumaat lalu.

Tiada ulasan: