HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 September 2019

Mahkamah lucut hak RM4.9 juta dari Yayasan Permata

Mahkamah tinggi membenarkan kerajaan lucut hak dana 1MBD 
dari Yayasan Permata bernilai RM4.9 juta.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak dana 1MDB bernilai RM4.9 juta dari yayasan pendidikan awal kanak-kanak, Yayasan Permata yang kini dijenamakan semula sebagai Yayasan Genius.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat perintah itu selepas setiausaha yayasan itu, Noraisah Spahat memberitahu mahkamah pihaknya tidak ada bantahan terhadap permohonan tersebut.
“Kami memutuskan tidak mencabar kes itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata tiada pihak ketiga yang tampil membuat tuntutan berhubung dana tersebut.

Begitu juga, katanya, tidak ada pihak ketiga yang tampil untuk mencabar permohonan pelucuthakan yang difailkan terhadap bekas menteri Kasitah Gaddam, Umno Johor, ahli perniagaan Bustari Yusof, Umno Selangor, Parti Demokrat Liberal (LDP), Jakel Trading Sdn Bhd, Media Edge CIA ( M) Sdn Bhd dan Yayasan PBAKM.

Sequerah kemudian berkata mahkamah akan meneruskan pendengaran terhadap mereka.

Beliau menetapkan 10 Sept untuk pendengaran bagi Kasitah, 4 Okt untuk Umno Johor dan Bustari, 18 Okt untuk Umno Selangor dan LDP, 25 Okt untuk Jakel, 1 Nov untuk Media Edge dan 8 Nov untuk Yayasan PBAKM.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada RM270 juta yang cuba didapatkan semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia daripada 41 individu dan organisasi yang didakwa disalurkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.

Tiada ulasan: