HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 September 2019

Tak logik tuduh pekerja berusia malas, tak berguna, MTUC beritahu Dr M

J Solomon berkata, sebahagian besar belia menganggur 
disebabkan tawaran gaji terlalu rendah, bukannya kurang 
peluang pekerjaan. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, Dr Mahathir Mohamad sepatutnya mengemukakan pendekatan alternatif ketika menolak cadangan pihaknya melanjutkan umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyifatkan alasan Mahathir yang kenaikan had umur persaraan akan menyekat peluang pekerjaan belia dan memburukkan masalah pekerja malas serta tidak berguna, sebagai tidak logik.

“Kami kesal kerana Mahathir bingkas menolak cadangan itu, namun tidak menawarkan formula Pakatan Harapan sendiri untuk pekerja menangani isu gaji rendah, termasuk gaji minimum tidak mencukupi, kos sara hidup semakin meningkat dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mencukupi untuk survival pesara.

“…hakikatnya ramai pekerja walaupun dalam usia lanjut mempunyai pengalaman dan rajin bekerja.

Memang ada yang malas dan tidak berguna, tetapi pekerja sedemikian juga wujud di kalangan orang muda. Malas adalah sikap dan bukannya sinonim dengan usia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, perdana menteri dilaporkan berkata, beliau setuju dengan pendapat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengekalkan had umur bersara pada 60 tahun agar ia tidak menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

Hari ini, Solomon menyifatkan kenyataan Syed Saddiq tidak masuk akal kerana sebahagian besar belia menganggur disebabkan tawaran gaji terlalu rendah, bukannya kurang peluang pekerjaan.

“Syed Saddiq harus peka kepada masalah sebenar generasi muda menganggur atau sukar mendapat pekerjaan dan tidak menolak begitu saja rasional untuk melanjutkan usia persaraan pekerja swasta.

“Beliau mahu dilihat sebagai jaguh belia, tetapi janganlah menggadaikan kepentingan pekerja B40 dan M40 yang bergelut setiap hari dengan gaji rendah, kos sara hidup tinggi dan simpanan KWSP yang tidak mencukupi untuk usia tua.”

Katanya, majikan sektor swasta tidak mengisi jawatan dikosongkan pesara demi menjimatkan kos.

“Tidak ada majikan yang sanggup memberi jaminan jawatan yang kosong apabila pekerjanya bersara akan ditawarkan kepada orang lain.

“Sebaliknya, majikan akan mencari cara tidak mengisi jawatan itu atau menawarkannya kepada pekerja asing dengan upah rendah ataupun memansuhkannya terus.”

Solomon turut mempersoalkan tindakan Syed Saddiq “membisu” ketika MTUC mendesak kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,800 yang akan memanfaatkan belia.

Beliau menggesa Mahathir mempertimbangkan semula penolakan usul MTUC itu menjelang Bajet 2020 yang akan dibentangkan bulan depan.

Katanya, MTUC sedia mengadakan dialog dengan Mahathir dan Syed Saddiq mengenai cadangan menaikkan had umur persaraan itu.

“Jangan ikut stail lama kerajaan lalu dengan menolak apa saja usul dan suara hati pekerja.
Pentadbiran ini mesti tampil dan menzahirkan kesediaan bekerjasama secara ikhlas dengan kesatuan sekerja untuk meringankan beban 15 juta pekerja swasta di negara ini.”

Tiada ulasan: