HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Oktober 2019

1MDB: Syarikat Jho Low, bapanya buat keuntungan melalui bon terbitan RM5 bilion

Kasthuri Jeevendran
MG300919_NAJIB-RAZAK-1MDB08-1
Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR –  Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari ke-19 hari ini menyaksikan pendedahan saksi kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tentang kerugian penerbitan bon Nota Jangka Sederhana (IMTN) pada ketika itu.

Bon itu yang bernilai RM5 bilion oleh Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) yang kemudianya ditukar nama kepada 1MDB itu mengalami kerugian bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Shahrol yang juga merupakan bekas Ketua Eksekutif (CEO) 1MDB juga mendedahkan walaupun menunjukkan kerugian buat 1MDB dan PERKESO namun ia telah memberikan keuntungan kepada syarikat dipercayai berkaitan dengan Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low dikaitkan dengan dengan Aktis Singapore Pvt Ltd (Aktis) yang mencatitkan keuntungan selepas penerbitan bon IMTN.

Shahrol berkata demikian ketika pemeriksaaan balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga dikaitkan dengan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.

Najib juga berhadapan dengan 21 pertuduhan lain termasuk salah guna kuasa serta penggubahan wang dana 1MDB ketika masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri antara 2008 sehingga 2018.

Ketika diasak oleh Muhammad Shafee, Shahrol memberitahu dirinya tidak mengertahui tentang kewujudan syarikat berkait rapat dengan Jho Low yang kini dalam buruan pihak berkuasa itu.

Malah Shahrol menafikan mengetahui syarikat Jho Low yang menjadi pelanggan sekunder terhadap bon 1MDB pada tahun 2009 di mana Aktis Singapore Pvt Ltd ada bukti Jho Low mendapat manfaat manakala bapanya, Larry Low didakwa memiliki Country Group.

Aktis dan Country Group dipercayai telah membuat keuntungan sebanyak RM494.62 juta daripada terbitan bon ini.

Sementara itu, Muhammad Shafee pula mencadangkan TIA menerbitkan bon RM5 bilion dan sepatutnya mendapat pulangan RM5 bilion namun Ambank yang menjadi ejen tawaran pula memberitahu ia tidak boleh dijual pada nilai muka.

Cadangan Muhammad Shafee bon itu dijual kepada Aktis sebelum meminta Ambank menjadi ejen tawaran dan menawarkan bon itu di pasaran sekaligus memberikan keuntungan kepada Aktis.

Shahrol juga ditunjukan dokumen surat antara Ambank dan Aktis yang mengesahkan jumlah bersih dibayar kepada syarikat itu berjumlah RM74.62 juta dan segala cadangan Muhammad Shafee berhubung perkara itu dipersetujui.

“Aktis melanggan bon itu pada harga RM617 juta di mana syarikat melantik Ambank sebagai ejen tawaran yang kemudian membantu Aktis menjualnya pada nilai muka berjumlah RM700 juta.

“Penjualan itu membawa kepada keuntungan dagangan berjumlah RM83 juta” baca Shafee di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Soal Muhammad Shafee kepada Shahrol siapa yang rugi sebelum di jawab olehnya, ‘1MDB’.

Shafee: Mereka membuat keuntungan daripada transaksi ini?
Shahrol Azral: Ya.

Shafee: 1MDB rugi, Ambank hanya dapat bayaran dalam RM700,000. Kita tidak tahu siapa dalam Ambank yang berkonspirasi dengan Aktis untuk membuat keuntungan ini?
Shahrol Azral: Ya.

Shafee: Adakah adil untuk saya katakan Kumpulan Ambank telah merahsiakan tentang fakta Aktis dan Country Group yang dikaitkan oleh Jho Low daripada lembaga pengarah 1MDB?
Shahrol: Ya.

Shafee: Mengapakah agaknya mereka merahsiakan tentang perkara ini?
Shahrol: Saya tidak mahu berspekulasi tentang perkara ini.–MalaysiaGazette

Tiada ulasan: