KUALA TERENGGANU – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini
melakar sejarah apabila bayi pertama hasil prosedur pemindahan embrio yang
dibekukan (FET) selama enam tahun selamat dilahirkan dihospital itu semalam.
Kelahiran bayi lelaki
itu bukan sahaja menggembirakan ibu bapanya, Mohd Yuhairi Haniff Yoon, 37, dan
Noor’adn Muhammad, 38, malah turut menggembirakan warga kerja HSNZ kerana ia
menjadi satu lagi kejayaan dalam kaedah persenyawaan In Vitro Fertilisation
(IVF) atau dikenali bayi tabung uji di hospital berkenaan.
Ketua pakar Obstetrik
dan Ginekologi (O&G) hospital itu Dr Nasuha Yaacob berkata,
kebiasaannya, prosedur FET dilakukan dalam tempoh purata antara satu hingga
tiga tahun dari tempoh pembekuan, dengan maksimum selama lima tahun.
“Pasangan ini bertuah
kerana selepas dibekukan enam tahun, embrio ini masih berkualiti dan berjaya
dilahirkan,” katanya.
Beliau berkata, bayi
lelaki tersebut merupakan bayi ke-20 yang dilahirkan menerusi IVF pada tahun
ini dan bayi yang ke-118 sejak Unit Perawatan Reproduktif HSNZ ditubuhkan pada
tahun 2009.
Noor’adn berkata,
kelahiran bayi lelaki seberat 3.34 kilogram itu adalah anugerah Allah untuk
beliau dan suami setelah menunggu lebih 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata
pertama mereka.
“Saya mula menjalani
rawatan IVF pada 2012 dan berjaya hamil pada tahun tersebut namun kandungan
saya gugur pada usia dua bulan diikuti pada Julai 2013, kehamilan bayi kembar
saya cuma bertahan pada usia 20 minggu.
“Selepas keguguran
bayi kembar pada 2013 itu, memang saya sedikit trauma untuk meneruskan rawatan,
setelah berbincang dengan suami, kami sepakat mahu mengambil masa selama lima
tahun untuk berehat agar benar-benar bersedia mental dan fizikal untuk rawatan
seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Guru Sekolah
Kebangsaan (SK) Kampung Baru Serada itu berkata, beliau sangat berterima kasih
kepada HSNZ terutama kumpulan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) yang
diketuai Dr Nasuha Yaacob kerana melayannya dengan baik sepanjang rawatan.
“Selepas mengalami
dua kali keguguran (terakhir 2013), saya mulakan lagi rawatan dengan embrio
beku dimasukkan pada Disember 2018 namun gagal. Siapa sangka dalam percubaan
kali keempat iaitu pada 27 Januari 2019, barulah saya disahkan hamil dua minggu
kemudian.
“Sejak itu, saya
mengambil cuti tanpa gaji dan mengamalkan pemakanan sihat serta mengelak
perjalanan jarak jauh agar kandungan kali ini selamat dilahirkan,” katanya yang
belum memuktamadkan nama bayi sulung tersebut.
Di Malaysia, hanya
terdapat empat hospital kerajaan yang menawarkan perubatan teknik IVF iaitu
HSNZ bagi Zon Pantai Timur, Hospital Kuala Lumpur (Zon Tengah), Hospital
Sultanah Bahiyah (Zon Utara) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (Sabah
dan Sarawak). – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan