HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Oktober 2019

Tangisan tiga beradik [METROTV]

Mohd Hafizee Mohd Arop
 
 

SUASANA pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebaik tiga beradik dibawa melihat jenazah adik bongsu mereka yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, hari ini.

Ketiga-tiga beradik itu, Mohamad Syafiq Ahmad Hafiz,10; Muhamad Syakir Zufairi,7; dan Muhamad Asyraf,6, dilihat meraung dan menangis selepas melihat jenazah adik mereka Muhamad Anas Hadif, 3.

Suasana menjadi semakin sebak sebaik Mohamad Syafiq dilihat merapatkan dirinya ke dinding dan menangis sebelum ia ditenangkan ahli keluarga, manakala dua lagi adiknya dilihat menutup muka mereka.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mayat Muhamad Anas Hadif ditemui di dalam lubang kumbahan selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang itu ketika bermain dengan dua lagi abangnya di kawasan kuarters berkenaan.

Bapa mangsa, Lans Koperal Ahmad Hafiz Mustafa,32, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri berada di dalam rumah mereka di kuarters berkenaan, manakala tiga anaknya itu bermain di kawasan hadapan kuarters.

Katanya, dia dikejutkan dengan jeritan anak ketiganya iaitu Muhamad Asyraf menyebabkannya terus keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati anak bongsunya tiada bersama-sama dua abangnya itu.

“Pada mulanya saya menyangkakan anak saya dilanggar kenderaan kerana mendengar abangnya menjerit, namun saya terkejut apabila melihat anak bongsu saya sudah tiada dan mencarinya di sekitar kawasan.

“Saya kemudiannya melihat ke dalam lubang kumbahan yang mana lubang penutupnya sudah terbuka dan melihat selipar anak saya terapung di dalam air kumbahan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, di Ipoh, hari ini.

Ahmad Hafiz berkata, keempat-empat anaknya ada bermain di kawasan lubang kumbahan itu yang terletak di belakang balai petang semalam sebelum tiga beradik dipercayai sekali lagi bermain di kawasan itu hari ini.

Menurutnya, anak bongsunya seorang yang manja serta tidak boleh berenggang dengannya serta isteri, Sofiah Mohd Teridi,32, dan kehilangannya amat dirasai mereka sekeluarga.

Katanya, dia baru sahaja sebulan tinggal di kuarters berkenaan selepas ditukarkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Manjung ke Bahagian Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Walaupun perit dan sedih dengan kemalangan yang berlaku terhadap anak saya ini, namun saya reda kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: